'Dakwaan ADUN Umno Perlis sertai BERSATU pembohongan besar'
Semua sembilan wakil rakyat BN Perlis menyatakan pendirian tidak akan berganjak daripada Umno sekali gus menafikan dakwaan BERSATU bahawa terdapat dalam kalangan mereka bakal keluar parti dan menyertai Pakatan Harapan seterusnya membentuk kerajaan negeri.
Portal Utusan Malaysia memetik ADUN Santan merangkap Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perlis, Azizan Sulaiman yang mendakwa mewakili semua wakil rakyat tersebut menegaskan, dakwaan BERSATU itu sebagai satu pembohongan besar dan tidak berasas.
“Kita akan terus kekal bersama Umno dan BN dan sama sekali tidak akan mengkhianati amanah rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada parti itu.
“Dalam masa sama, kita juga menyokong penuh kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man,” katanya yang dipetik oleh portal milik Umno itu.
Azizan berkata, pihaknya tidak pernah mengadakan perbincangan dengan BERSATU dalam soal tersebut jauh sekali untuk bertemu pemimpin mereka bagi menyatakan hasrat keluar parti.
Semalam Setiausaha BERSATU, Perlis, Wan Saiful Wan Jan mendedahkan terdapat pemimpin dan wakil rakyat BN menyatakan hasrat untuk keluar parti dan menyertai Pakatan Harapan.

Beliau dilaporkan berkata, beberapa orang pemimpin Umno Perlis akan menyertai BERSATU dan beberapa pertemuan serta rundingan dengan pemimpin berkenaan telah dan masih berjalan serta menunjukkan tanda-tanda positif.
Sebelum itu, Azlan yang juga Ketua Umno Bahagian Kangar turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wakil rakyat BN bakal keluar parti selain menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak berasas sama sekali.
Portal Utusan Malaysia juga memetik ADUN Kayang, Hamizan Hassan sebagai berkata, beliau dan wakil-wakil rakyat BN lain tidak pernah berbincang dan terlintas di fikiran untuk keluar parti.
“Desas-desus seperti ini sebenarnya hanya berlaku di kedai-kedai kopi dan daripada pemain-pemain politik sahaja,” katanya.
ADUN Pauh, Roziena Ahmad pula berkata, beliau dan wakil-wakil rakyat lain menang atas tiket BN dalam pilihan raya baru-baru ini dan tidak mungkin mereka akan keluar parti untuk menyertai Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu.
“Saya tegaskan, akan terus kekal di dalam BN dan begitu juga dengan rakan-rakan lain.
“Kami selesa berkhidmat di dalam BN meskipun dalam keadaan serba kekurangan kerana bukan lagi menjadi kerajaan di peringkat pusat,” katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.