Undian di Kedah batal sebab kurang pengalaman e-undi - JPP
PEMILIHAN PKR | Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti itu, Ismail Yusop menjelaskan pembatalan keputusan pengundian di Kedah dibuat kerana masalah kurang pengalaman mengendalikan sistem baru e-undi.
"Saya dapat katakan ia berpunca daripada faktor (kelemahan) manusia.
"Kamu perlu faham, ini kali pertama kami menggunakan sistem baru (e-undi)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Beliau turut berkata sokongan teknikal tidak mencukupi ketika pemilihan berlangsung di Kedah yang menyebabkan penundaan, beratur panjang dan akhirnya mencetuskan keadaan kecoh.
Bagaimanapun, katanya, JPP PKR itu tetap akan meneruskan pemilihan dan sedang berbincang sekarang mengenai bagaimana untuk menguruskan sistem itu dengan lebih baik.
Selain dari Kedah, empat negeri lain telah mengadakan pemilihan parti, termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Perlis.
Pemilihan di Johor diteruskan Ahad ini
Ismail berkata JPP masih belum menetapkan tarikh baru untuk pemilihan di lima negeri ini.
Bagaimanapun, katanya, mereka berhasrat untuk mengikuti jadual yang telah ditetapkan serta bakal melangsungkan pemilihan di Johor pada Ahad ini.
Pemilihan parti PKR, yang bermula hujung minggu lalu, telah dicemari insiden pembatalan di Kedah serta kekecohan di Pulau Pinang.
Tahun ini, PKR buat pertama kali menggunakan sistem e-undi bagi pemilihan parti dan PKR adalah satu-satunya parti yang memberikan hak mengundi kepada semua anggotanya.

