Kerajaan negeri akan menilai semula sumbangan dan pemberian pingat kepada veteran tentera dan polis di negeri itu sempena sambutan Hari Pahlawan tahun depan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan bakti kepada rakyat serta negara.
Ketua Menteri Adly Zahari berkata penilaian berkenaan termasuk cadangan meningkatkan jumlah sumbangan kepada golongan berkenaan menerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera dan Persatuan Bekas Polis Malaysia di negeri itu.
"Kita sedia maklum bahawa tanggungjawab menjaga kebajikan golongan veteran tentera dan polis di negara ini di bawah kerajaan persekutuan namun kerajaan negeri juga melihat perkara yang boleh dibantu untuk golongan ini.
"Pada tahun ini kerajaan negeri akan menyumbangkan RM50,000 kepada veteran tentera dan RM20,000 kepada veteran polis iaitu nilainya kekal seperti tahun sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri Melaka di Melaka, hari ini.
Istiadat berkenaan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.
Mengulas lanjut, Adly berkata penilaian sumbangan berkenaan dilakukan mengambil kira kedudukan golongan berkenaan khususnya veteran tentera yang tidak mempunyai pencen untuk meneruskan kehidupan mereka.
- Bernama
