Jurucakap dan Setiausaha Akhbar presiden Filipina Ignacio R. Bunye hari ini menyatakan laporan mengenai dakwaan wujud pakatan untuk menggulingkan Presiden Gloria Macapagal Arroyo sebagai "sembang kedai kopi".

Bercakap dalam sidang media di Pusat Media Antarabangsa di luar Sidang Kemuncak Asean Ke-11 di Kuala Lumpur, beliau menyifatkan laporan itu sebagai khabar angin yang disebarkan oleh pihak pembangkang.

"Saya beri jaminan kepada anda semua bahawa kami akan menyambut krismas akan datang dan seterusnya dalam keadaan aman. Semua ini hanya sembang kedai kopi," katanya semasa ditanya mengenai laporan bahawa anggota tentera yang setia kepada Arroyo telah membongkar cubaan merampas kuasa pada hujung minggu ini.

Arroyo kini berada di ibu negara Malaysia bagi menghadiri sidang kemuncak Asean dan sidang kemuncak berkaitan sehingga 14 Disember.

Khabar angin mengenai pakatan menjatuhkan pemimpin Filipina merupakan perkara biasa di Filipina, di mana pemberontakan oleh tentera dengan sokongan "kuasa rakyat" telah mengulingkan dua presiden.

'Amaran merah'

Yakin dengan kesetiaan tidak berbelah-bahagi angkatan tentera kepada presiden, Bunye berkata: "Anggota perkhidmatan beruniform setia kepada perlembagaan dan perintah."

Kepada soalan media Filipina kenapa "amaran merah" diisytiharkan sejak Arroyo meninggalkan negara itu untuk menghadiri sidang kemuncak itu, beliau berkata: "Ia merupakan prosedur standard, (tanpa mengira) sama ada anda menghadapi ancaman spesifik atau tidak."

Menurut Bernama, Bunye menyatakan presiden itu tidak menyentuh mengenai dakwaan pakatan itu semasa mengadakan perbincangan dengan kakitangannya malam tadi.

Sebaliknya, perbincangan bertumpu pada topik berkaitan Asean kerana Arroyo menganggap laporan itu sebagai khabar angin, katanya.