Shafie tidak puashati senarai nama anggotai jkuasa kaji Auku
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Shafie Salleh tidak puas hati dengan senarai nama individu yang dicadangkan dilantik menganggotai jawatankuasa khusus untuk meneliti semula peraturan yang terkandung dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Shafie Salleh tidak puas hati dengan senarai nama individu yang dicadangkan dilantik menganggotai jawatankuasa khusus untuk meneliti semula peraturan yang terkandung dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
"Saya sudah terima nama mereka semalam, tetapi saya tak puas hati lagi dan saya sudah arahkan pegawai saya supaya mendapatkan nama-nama lain untuk sertai jawatankuasa ini,
"Selepas itu kita akan tanya calon-calon ini sama ada mereka setuju atau tidak untuk menjadi anggota jawatankuasa tersebut," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai sekurang-kurangnya 12 orang yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT) swasta yang ternama, institusi pengajian tinggi awam dan juga peguam.
Beliau diminta mengulas lanjut jawapannya di sidang Dewan Negara sebelum itu, yang antara lain menyatakan jawatankuasa itu akan mengkaji terlebih dahulu sebelum pindaan Auku dilakukan.
Shafie berkata, larangan melibatkan diri dengan perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan adalah antara isu utama yang kerap dibangkitkan oleh pelajar universiti, yang membawa kepada cadangan supaya Auku dikaji semula.
Larangan demonstrasi
"Kita akan teliti semua peraturan yang ada termasuk Auku yang asal dan juga yang telah dipinda sebelum ini, tetapi yang paling banyak dibangkitkan adalah mengenai larangan demonstrasi," katanya.
Menurut Bernama, beliau berkata, jawatankuasa itu nanti akan diberikan tempoh menyelesaikan kajian mereka mengenai peraturan tersebut, serta diminta mengemukakan cadangan mereka bagi tujuan pindaan.
Terdahulu, semasa menjawab soalan Senator Tan Bon You, Shafie berkata, Auku yang diwujudkan pada 1971 telah dipinda sebanyak dua kali iaitu pada 1975 dan 1983.
Mengenai jumlah pelajar yang didapati bersalah melanggar Auku sejak tahun 2000, Shafie berkata 1,710 pelajar direkodkan terbabit dengan kesalahan meniru semasa peperiksaan, berkhalwat, mencuri dan menipu, kesalahan lalu lintas, serta menyertai demonstrasi atau perhimpunan haram.
Mereka adalah pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Perguruan Sultan Idris, KUSTEM, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia dan KuiTTHO.
Jadual peperiksaan
"Kebanyakan pelajar yang melanggar peruntukan Auku telah diberi amaran dan didenda," katanya.
Sementara itu, Shafie berkata beliau akan menyarankan supaya IPT memastikan jadual peperiksaan disusun dengan lebih baik dengan memberi ruang kepada pelajar untuk berehat dan mengulangkaji di antara satu subjek dengan subjek yang lain.
Katanya, ini kerana ramai pelajar IPT memaklumkan kepadanya tentang jadual peperiksaan yang terlalu padat sehingga menyukarkan mereka mengulangkaji pelajaran ataupun mendapat rehat yang cukup sebelum menduduki peperiksaan seterusnya.
Katanya, kepadatan jadual peperiksaan juga adalah antara satu faktor kes meniru di dalam peperiksaan semakin banyak berlaku kerana pelajar mengambil jalan mudah bagi memastikan mereka lulus dalam peperiksaan yang diduduki.
"Saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat dengan Timbalan Naib Canselor Akademik yang akan datang, dan beritahu mereka perkara ini (kepadatan jadual peperiksaan) perlu dipertimbangkan," katanya.
Shafie seterusnya berkata, beliau juga akan menyarankan supaya peperiksaan tidak diadakan semasa hari perayaan bagi membolehkan pelajar turut sama meraikan perayaan.

