Mat Sabu - setiausaha pertahanan AS bincang isu keamanan
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini mengadakan mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat James Norman Mattis di Pentagon, Washington bagi membincangkan isu keamanan.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan di sini berkata perbincangan itu antara lain menyentuh isu keamanan di Laut China Selatan dengan Malaysia akan kekal berpendirian sebagai negara berkecuali.
“Perbincangan hampir sejam itu turut membincangkan isu bagi menangani ancaman pengganas ISIS dan membendung pemikiran terorisme,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Malaysia juga membangkitkan isu penghapusan etnik Rohingya untuk perhatian Amerika Syarikat agar kuasa besar tersebut segera campur tangan memandangkan ia bukan lagi isu domestik di Myanmar tetapi isu kemanusiaan sejagat.
Malaysia berpandangan jika isu Rohingya tidak ditangani segera ia bakal mengulangi apa yang terjadi di negara Palestin apabila rakyatnya dibunuh dan tanah dijajah sekali gus dibimbangi akan mampu menyuburkan fahaman Daesh, demikian menurut kenyataan tersebut.
Turut serta dalam pertemuan itu Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan.
Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja Mohamad ke Amerika Syarikat yang bermula Ahad lepas sehingga Sabtu ini.
Beliau juga dijadualkan menghadiri Mesyuarat Peringkat Tinggi berhubung ‘Action For Peacekeeping’ di New York dan akan mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Sesi 73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) bermula hari ini hingga Sabtu.
Lawatan kerja Mohamad ke Washington DC adalah susulan pertemuan beliau dengan rakan sejawatannya itu di Singapura pada Jun lepas.
- Bernama


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.