Seorang kakitangan syarikat penerbitan bebas menghadapi satu lagi tuduhan di Mahkamah Majistreat Kuala Lumpur pada awal Oktober berhubung pengedaran akhbar tabloid politik tanpa permit.

Zabidi Morad dipanggil ke mahkamah untuk dituduh pada 10 Oktober berhubung penjualan akhbar Islah di premis syarikat Penerbitan Pemuda di Medan Idaman, Gombak tahun lalu.

Pada 10 November, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat serbuan ke atas premis syarikat itu dan merampas 640 naskhah Islah yang diterbitkan oleh Penerbitan Pemuda.

Penulis politik terkenal dan juga seorang penerbit, Ahmad Lutfi Othman, mengendalikan akhbar politik itu.

Zabidi didakwa atas kesalahan mengikut seksyen 5(2)(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Jika sabit kesalahan, seseorang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Seksyen itu melarang pencetakan, penjualan dan pemilikan bahan-bahan bercetak yang tidak mempunyai keizinan KDN atau permit telah digantung.

Selain itu, Zabidi juga menghadapi perbicaraan berhubung pengedaran sebuah lagi tabloid, Haraki , yang dirampas di tempat yang sama dalam serbuan kementerian pada Mei tahun lalu.

Pada halaman depan Islah , Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang dilaporkan mendakwa "pemimpin Umno negeri pernah menyalahkan guna peruntukan wang royalti petroleum untuk melanggan perempuan."

"Kerja mereka (pemimpin Umno yang memerintah Terengganu) cukup memalukan. wang hasil royalti minyak itu digunakan untuk perempuan, minum arak dan melakukan maksiat," Abdul Hadi dipetik sebagai berkata.

Akhbar tabloid setebal 24 mukasurat itu turut memuatkan wawancara eksklusif dengan Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas negeri, Tun Mohamad Salleh Abbas, berhubung sejarah perjanjian royalti antara Terengganu dengan Petronas.