Senator dedah stesen TV tayang filem yang diharamkan
Seorang anggota Dewan Negara hari ini menggesa kerajaan agar mengambil tindakan terhadap sebuah stesen televisyen tempatan yang melanggar peraturan Lembaga Penapisan Filem dengan menyiarkan sebuah filem yang telah diharamkan oleh lembaga itu dan Lembaga Rayuan.
Seorang anggota Dewan Negara hari ini menggesa kerajaan agar mengambil tindakan terhadap sebuah stesen televisyen tempatan yang melanggar peraturan Lembaga Penapisan Filem dengan menyiarkan sebuah filem yang telah diharamkan oleh lembaga itu dan Lembaga Rayuan.
Senator Datuk Jins Shamsudin berkata, tindakan stesen televisyen itu seolah-olah memperkecilkan peraturan yang telah dibuat oleh pihak berkuasa demi menjaga keharmonian rakyat dan negara.
"Filem itu diharamkan oleh kedua-dua lembaga, tetapi ada orang yang tayangkan sebab mereka ada ahli sensornya (penapisan sendiri) yang bukan dilantik oleh kerajaan," katanya semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2006 di Dewan Negara hari ini.
Menurut Bernama, Jins yang juga anggota Lembaga Rayuan berkata pengharaman filem tempatan itu kerana ia mempunyai unsur agama dan seks yang bertentangan dengan budaya negara ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama filem dan stesen televisyen berkenaan sekalipun diminta berbuat demikian oleh beberapa anggota persidangan kerana sudah terikat dengan sumpah dan syarat sebagai anggota Lembaga Rayuan.
Jins berkata mengikut peraturannya, jika sesebuah filem itu mempunyai unsur ganas, seks dan boleh menyentuh sensitiviti bangsa dan agama Lembaga Penapisan Filem akan menolak penyiarannya.
Cetak rompak
Tetapi penerbit filem berkenaan boleh membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan yang mana keputusan dibuat berdasarkan keputusan majoriti.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia merupakan negara pengimport cakera padat video (VCD) cetak rompak terbesar di dunia dengan memperolehi hasil sebanyak USD100 juta tahun ini.
Jins juga menyuarakan kebimbangannya berkenaan isu cetak rompak yang
kini kembali berleluasa dan mencadangkan agar kerajaan menghadkan pengeluaran lesen kilang mengeluarkan cakera padat (CD).
Selain itu, beliau yakin penubuhan pawagam mini di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar akan mengurangkan permintaan bagi VCD cetak rompak.
"Pembinaan panggung wayang ini bukan saja akan membekalkan hiburan kepada masyarakat tetapi juga boleh mengelakkan mereka daripada membeli VCD cetak rompak," katanya

