Seorang anggota polis yang bertugas di Pondok Polis Taman Seri Manja, Petaling Jaya adalah antara orang paling awal menonton klip video selama 70 saat yang menunjukkan seorang wanita melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel di lokap Balai Polis Petaling Jaya.

Lans Koperal Mat Suhaimi Nordin yang bertugas di pondok polis itu berkata, rakannya Konstabel Mohd Zulfatah menunjukkan klip video berkenaan kepadanya pada kira-kira jam 7.30 pagi 29 Jun 2005.

Dia berkata demikian dalam keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Awam yang ditubuhkan bagi menyiasat kejadian berkenaan di Kuala Lumpur hari ini.

Suruhanjaya lima anggota itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.

Mat Suhaimi berkata, pada kira-kira jam 3.30 pagi hari berkenaan, Zulfatah memberitahunya yang dia akan keluar untuk membeli makanan dan membuat rondaan cegah jenayah.

"Pada kira-kira jam 7 pagi, dia pulang dan bertanya kepada saya sama ada saya ingin menonton klip video. Dia menunjukkan klip video itu menggunakan telefon bimbitnya," kata anggota polis itu.

Wanita Melayu

Mat Suhaimi berkata, dia bertanya Zulfatah dari mana rakan setugasnya itu mendapat klip video berkenaan tetapi hanya dijawab bahawa wanita terbabit berbangsa Melayu dan baru ditangkap kerana kes dadah.

Menurut Bernama, a nggota polis itu berkata, Zulfatah juga tidak menyatakan di mana klip video itu dirakam dan dia (Mat Suhaimi) menontonnya dua kali kerana ingin tahu tempat ia dirakam.

Mat Suhaimi berkata walaupun dia tidak bertanya Zulfatah tentang tempat klip video itu dirakam, tetapi dia memarahi rakannya itu kerana merakamnya.

"Saya beritahu dia, yang dia tak ada kerja lain, pagi-pagi subuh buat kerja macam ini," katanya.

Mat Suhaimi berkata, dia tidak kenal anggota polis wanita yang terdapat dalam klip video berkenaan atau balai polis tempat video itu dirakam.

Bagaimanapun kata Mat Suhaimi, dia diberitahu oleh Zulfatah bahawa rakannya itu telah pergi ke Balai Polis Petaling Jaya antara tiga dan empat kilometer dari tempat mereka bertugas.

"Saya tanya dia (Zulfatah) mengapa lambat pulang dan dia beritahu saya dia pergi ke Balai Polis Petaling Jaya. Dia juga beritahu saya yang dia akan padam klip video itu daripada telefon bimbitnya, tapi tidak berbuat demikian di depan saya.

Bilik darjah

"Lepas itu, saya bercuti tujuh hari dan tidak tahu apa yang berlaku dalam tempoh itu," katanya.

Mat Suhimi berkata, kali berikutnya dia menonton klip video berkenaan ialah dalam siaran berita TV3 yang menyebut bahawa wanita terbabit adalah warganegara China.

Anggota polis berkenaan berkata selepas itu dia segera menghubungi Ketua Balai Polis Petaling Jaya Cif Inspekor Abdul Aziz Abdul Rahman dan memberitahu bahawa wanita dalam klip video berkenaan berbangsa Melayu, dan bukannya Cina.

Pada siasatan awam hari ini, Mat Suhaimi juga membuat pengesahan tentang klip video berkenaan.

Terdahulu, Cif Inspektor Razali Selvarajoo dari Jabatan Narkotik Polis Petaling Jaya, yang menangkap wanita berkenaan memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa pada kira-kira jam 1.45 pagi 29 Jun lalu, dia menangkap lima lelaki dan seorang wanita di sebuah sekolah rendah di Damansara Jaya berhubung kes dadah.

"Kami dari pasukan lima pegawai polis, kemudian membawa mereka ke balai Polis Damansara Jaya dan menyerahkan wanita berkenaan kepada seorang pegawai polis wanita," katanya.

Beliau berkata polis menemui ganja dan syabu di tempat keenam-enam suspek itu ditangkap iaitu di dalam sebuah bilik darjah sekolah berkenaan.