Konstabel Zul Fatah nafi rakam video ketuk ketampi
Konstabel Mohd Zul Fatah Saari yang didakwa merakam klip video wanita membuat ketuk ketampi dalam keadaan bogel di balai polis Petaling Jaya pada 29 Jun lalu, hari ini menafikan berbuat demikian.
Konstabel Mohd Zul Fatah Saari yang didakwa merakam klip video wanita membuat ketuk ketampi dalam keadaan bogel di balai polis Petaling Jaya pada 29 Jun lalu, hari ini menafikan berbuat demikian.
Malah Mohd Zul Fatah, turut menyifatkan Lans Koperal Mat Suhaimi Nordin yang memberi keterangan sedemikian kepada Suruhanjaya Bebas yang menyiasat perkara itu, sebagai penipu.
Semalam, Suhaimi memberikan keterangan semasa siasatan awam berhubung insiden itu bahawa Zul Fatah telah menunjukkan kepadanya klip video berkenaan dalam telefon bimbitnya dan memberitahunya bahawa wanita itu telah ditangkap atas tuduhan memiliki dadah oleh anggota narkotik.
Zul Fatah, turut menafikan keterangan Suhaimi bahawa beliau keluar dari pondok polis Taman Seri Manja Petaling Jaya pada jam 3 pagi dan kembali pada jam 7.30 pagi, sebaliknya menyatakan beliau hanya keluar kira-kira 45 minit untuk makan di restoran berhampiran.
Zul Fatah juga memberitahu beliau tidak tahu kenapa Suhaimi berbohong dan antara mereka tidak ada masalah.
Zul Fatah, saksi ke-13, menyatakan demikian kepada anggota panel suruhanjaya diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan dianggotai bekas Timbalan Presiden MCA Tan Sri Lim Ah Lek, peguam dan Ketua Biro Undang-Undang Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim, bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Khutubul Zaman Bukhari dan Datuk Hamzah Mohamed Rus yang bertindak sebagai setiausaha suruhanjaya.
Menurut laporan Bernama , dalam prosiding pagi ini, Zul Fatah turut ditegur oleh Mohamed Dzaiddin selepas mendapati keterangan anggota polis itu berhubung telefon bimbit yang digunakannya sering berubah-ubah.
"Kalau awak nak reka cerita, awak reka betul-betul," kata Mohamed Dzaiddin sambil disambut gelak ketawa mereka yang berada di galeri awam.
Ketika ditunjukkan klip video berkenaan kepadanya, Zul Fatah kelihatan menundukkan kepala sambil mengesat mata menyebabkan Dzaiddin berkata: "Jangan teriak (menangis)", yang dibalas oleh Zul Fatah: "Tak, sakit mata".


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.