Menteri cadang kereta nasional ke-3 mesra alam, mampu milik
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking mencadangkan kereta nasional ketiga perlulah merupakan kereta mesra alam yang mampu milik.
"Saya fikir kita perlu bercakap tentang kereta elektrik, kenapa kita harus bercakap tentang kereta yang menggunakan minyak fosil? Kita perlu bercakap tentang masa depan.
"Tidak perlu kereta besar, ada banyak pengeluar kereta besar. Ia boleh jadi kereta kecil, mungkin kereta pintar Asia.
"Mungkin kereta yang murah," katanya kepada media selepas berucap pada forum “Living in the Age of Automation and Disruption” di Universiti Malaya di Kuala Lumpur petang tadi.
Leiking juga berkata pilihan berhubung perkara itu kini masih terbuka.
"Saya fikir kita harus pertimbangkan semua pilihan namun ia mestilah mampu milik, kereta masa kini yang kita mahu," katanya.
Pada 15 Sept, Leiking mengumumkan bahawa pihak swasta dalam industri automatif diberi tempoh sebulan untuk menyerahkan cadangan mereka berhubung kereta nasional ketiga.
Hari ini, beliau berkata kerajaan telah menerima "banyak" cadangan setakat ini.
Beliau juga menekankan bahawa projek berkenaan perlu diteruskan meskipun perdana menteri akan bertukar.
"Kerajaan perlu teruskan (projek itu) tak kira siapa jadi perdana menteri," katanya.

