Siswa UM digantung pengajian, persatuan USM diberi amaran
Dua aktivis pelajar Universiti Malaya yang dituduh menyertai perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Jun kini digantung pengajiannya.
Sementara itu sebuah persatuan pelajar Universiti Sains Malaysia, dalam perkembangan berlainan, diberikan "amaran keras" berhubung dua perhimpunan di kampus itu pada Julai dan Ogos.
Aktivis UM, Khairul Amal Mahmood dan Wan Mohd Sanusi Wan Mohd Noor tidak dibenarkan meneruskan pelajaran sehingga kes mereka, sedang dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, selesai.
Malaysiakini difahamkan mereka telah menerima surat penggantungan itu pada Isnin lalu.
Enam pelajar institusi pengajian tinggi, termasuk dua dari UM, dan seorang pekerja swasta ditangkap ketika menyertai satu perhimpunan yang diadakan kira-kira jam 2.30 petang pada 8 Jun di depan Masjid Negara. Mereka ditahan selama hampir 24 jam di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rafzan Ramli, yang turut dihadapkan ke mahkamah, menerima surat penggantungan pengajiannya minggu lalu. Tindakan itu bagaimanapun berkuatkuasa sejak 19 Julai, hari beliau didakwa.
Dalam surat yang dikeluarkan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu bertarikh 7 Ogos lalu, Rafzan digantung mengikut seksyen 14(1) Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib).
Menurut seksyen itu, seseorang pelajar yang menghadapi pertuduhan di mahkamah boleh digantung pengajian dan dilarang memasuki kampus sebarang universiti tempatan.
Tindakan tegas
Turut didakwa, Ahmad Kamal Abd Hamid, Nik Noorhafizi Nik Ismail Nik Ibrahim, Zulkifli Idris dan seorang kakitangan swasta, Hilman Sanuddin.
Tujuh lelaki itu dituduh mengikut seksyen 27(5) Akta Polis atau kesalahan menyertai perhimpunan tanpa permit. Kes itu akan disebut pada 15 dan 16 Oktober ini.
Perhimpunan itu dianjurkan oleh gabungan 12 persatuan pelajar yang dikenali Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) sempena genap 60 hari penahanan mengikut ISA terhadap 10 aktivis reformasi dan pemimpin Parti Keadilan Nasional yang ditangkap pada April.
Di USM, Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) diberi amaran berhubung perhimpunan yang diadakan sebagai menyokong pengerusi PBT Lee Yen Ting, setiausaha agungnya Choo Chon Kai dan kumpulan bahas persatuan itu yang sedang dihadapkan ke perbicaraan tatatertib.
"Pihak kami memberikan amaran yang sekeras-kerasnya kepada saudari (Lee), ahli jawatankuasa dan semua ahli PBT agar tidak melakukannya (berhimpun) lagi kerana tindakan tegas akan terus diambil tanpa apa-apa jua alasan serta tidak akan bertolak ansur dalam isu ini," kata Pengarah Jabatan Keselamatan USM Noor Rizan Khalid dalam surat
"Gelagat demikian (berhimpun) adalah sebagai memburukkan lagi imej PBT dan USM amnya."
Lencana anti-ISA
Pada 3 Julai, empat pelajar dibicarakan dan didapati bersalah menyertai pertandingan debat di Singapura pada Mei tanpa kebenaran rasmi universiti itu. Empat pelajar daripada kumpulan debat PBT, Lim Khoon Ehua, Ong Wee Ling, Hoo Kam Fong dan Lim Gim Shin, didenda RM150 seorang.
Pada 1 Ogos, Lee dan Choo dikenakan hukuman denda RM200 seorang kerana didapati bersalah mengeluarkan kenyataan kepada akhbar The Star dan Sin Chew Jit Poh pada Mei berhubung halangan USM terhadap kumpulan debat itu.
Jabatan Keselamatan mengingatkan persatuan itu bahawa perhimpunan seumpama itu bertentangan dengan Perkara 9 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
"Semua ahli PBT diarahkan menghentikan tindakan sedemikian dan tidak mengulanginya lagi pada masa depan," surat itu dipetik.
Dalam surat bertarikh 16 Ogos, Jabatan Keselamatan juga mendakwa Lee tidak melarang ahli-ahli PBT berhimpun, "malah turut aktif bersama-sama kejadian itu."
Choo yang juga disiasat menjual lencana kempen anti-ISA di kampus itu awal Julai akan dipanggil untuk memberikan keterangan lanjut oleh jawatankuasa tatatertib USM pada Khamis depan.

