Terjemahan Pelaksanaan dasar penggunaan bahasa Inggeris mengambil masa bertahun-tahun untuk melihat hasilnya dan tidak harus diberhentikan hanya kerana ia ditentang oleh golongan 'minoriti'," kata Tun Dr Mathathir Mohamad.

Pelaksanaan dasar pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris merupakan idea bekas Perdana Menteri itu yang dimulakan pada 2003, bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, para pengkritiknya, terutama dari kalangan pendidik sekolah vernakular, mendakwa dasar tersebut diperkenalkan asebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk menutup sekolah-sekolah berkenaan.

Mereka juga mendakwa prestasi murid turut terjejas berikutan penukaran bahasa pengajaran bagi kedua-dua matapelajaran tersebut.

Sabtu lalu, lebih 600 pertubuhan dan lebih 4,000 individu menghadiri satu persidangan di Kajang untuk menggesa kerajaan menyemak semula dasar tersebut.

Ditanya mengenainya, Dr Mahathir berkata: "Dasar ini harus diteruskan kerana dalam apa juga yang anda lakukan, akan ada (kumpulan) minoriti yang tidak suka".

Mengenai dakwaan ianya menjejaskan prestasi akademik murid, beliau berkata: "Kita hanya baru bermula, bagaimana anda pasti (mengenainya)?

Bercakap dalam satu sidang akhbar semalam, beliau berkata, ia akan mengambil masa untuk melihat hasilnya.

Resolusi empat perkara

Di persidangan tersebut yang dianjurkan oleh badan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong, para pesertanya telah meluluskan resolusi empat perkara.

Resolusi itu menggesa kerajaan supaya meningkatkan masa pengajaran bahasa Inggeris di sekolah, mengkaji kesan negatif dasar tersebut, matapelajaran Matematik dan Sains diajar semula dalam bahasa ibunda, dan menggesa semua badan dan parti politik supaya menyokong pendidikan bahasa ibunda.

Resolusi tersebut telah diluluskan sebulat suara secara mengangkat tangan dan akan diserahkan kepada pihak berkuasa tidak lama lagi.

Mereka yang berucap di persidangan tersebut telah mengemukakan beberapa alasan untuk mendesak supaya dasar itu dikaji semula, termasuk dakwaan bahawa murid Melayu yang paling teruk terjejas kerana wujudkan kelemahan dan perancangan tidak rapi.

Kementerian Pelajaran sebaliknya berkata para murid mendapat faedah daripada pelaksanaan dasar tersebut.

Pertukaran bahasa itu dilaksanakan dalam kelas Tahun Satu di semua sekolah rendah. Di sekolah Cina pula formula 2-4-3 digunakan dua masa bagi bahasa Inggeris, empat masa bagi Matematik tiga masa bagi Sains pada setiap minggu. Berita asal