Datuk Seri Wee Ka Siong menafikan kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa timbalan presiden MCA itu terlibat dalam perbincangan berhubung kerjasama Umno dan PAS.

"Saya tidak terlibat dalam sebarang perbincangan antara presiden Umno dan MCA untuk mengkaji semula kerjasama PAS dengan Umno atau mana-mana parti komponen BN.

"Saya harap presiden Umno akan jelaskan kenyataannya berhubung penglibatan saya dalam perbincangan seperti itu.

"Berhubung kerjasama Umno dengan PAS, saya juga sudah memberi pandangan saya berhubung isu itu dan dilaporkan media sebelum ini," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Wee turut menambah bahawa beliau sudah menghubungi pejabat Zahid untuk mendapatkan penjelasan.

Dalam wawancara yang disiarkan The Star semalam, Zahid, yang juga merupakan pengerusi BN, berkata beliau sudah bercakap dengan dua pemimpin parti MCA dan mendakwa "MCA faham" kerjasama Umno dengan PAS.

"MCA faham perkara ini. Saya sudah bercakap dengan (Presiden MCA) Liow Tiong Lai dan Wee. Saya juga sudah bercakap dengan (Presiden MIC) SA Vigneswaran dan (Timbalan Presiden MIC) SK Devamany.

"Kerjasama kami adalah kerana kami parti pembangkang. Kerjasama kami bukan hanya tentang isu Islam dan agenda Melayu tapi juga isu dan kepentingan negara," kata Zahid dipetik sebagai berkata.

Sementara Wee, yang akan bertanding untuk jawatan presiden MCA dalam pemilihan parti akan datang awal bulan ini menyatakan bahawa sebarang kemungkinan kerjasama dengan PAS akan menolak pengundi bukan Melayu menyokong Pakatan Harapan.

Wee berkata, adalah silap untuk menganggap sokongan untuk Umno dan PAS akan bertambah sekiranya kedua-dua parti bekerjasama.

Ahad lalu pula, Liow menyatakan bantahan terhadap penubuhan sebarang pakatan dengan PAS.

Liow malah memberi amaran bahawa Umno akan disingkirkan dari BN sekiranya mengambil langkah 'teokratik' dan politik perkauman.

[Baca berita asal]