Perwakilan Pemuda: Jangan sampai Umno digelar 'parti kunyit'
PAU 2018 | Seorang perwakilan Pemuda Umno Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashiri dalam ucapannya mengingatkan agar parti itu tidak mengikut 'pintu belakang' dalam mengejar cita-cita untuk menubuhkan kerajaan semula.
Syed Mohd berkata demikian sebagai mengulas cadangan penubuhan kerajaan perpaduan oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
"Janganlah kita ikut jalan belakang, sudah-sudahlah kita amalkan luar tabii semata-mata nak tubuh kerajaan. Nanti kita digelar parti kunyit pula," katanya.
Istilah 'kunyit' itu sering dikaitkan oleh masyarakat Melayu dengan homoseksual.
Perwakilan Pemuda Umno Pahang, Mohd Farid Mohd Nor pula berkata, rancangan Zahid mahu menubuhkan kerajaan perpaduan hanya akan menyebabkan Umno dihukum dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Terdapat rancangan ketika ini, yang kata melalui pergabungan dengan parti lain, kita boleh tubuhkan kerajaan.
"Tapi kerajaan ini tidak akan tahan lama. Kita akan terus dibenci, dan kita akan dihukum pada PRU akan datang," katanya di perhimpunan Pemuda Umno di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam wawancara bersata New Straits Times yang disiarkan Khamis lalu, Zahid berkata Umno bersedia untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan bergabung dengan parti Pakatan Harapan.
Awal hari ini, Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki juga menolak cadangan kerajaan perpaduan itu dengan menyifatkannya sebagai "menjual maruah".
Mengulas lanjut, Mohd Farid (gambar) juga menggesa agar pemimpin Umno berhenti mengatakan bahawa orang Melayu masih menyokong parti itu.

Jelasnya, ia tidak benar kerana kurang daripada 50 peratus orang Melayu menyokong Umno pada PRu ke-14 lalu.
"Sindrom penafian ini perlu dihentikan. Kita perlu mengaku bahawa orang Melayu tidak menyokong kita. Mereka tidak mahu melihat kita menubuhkan kerajaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Farid turut menggesa agar golongan "konservatif" dan "progresif" dalam sayap Pemuda Umno bersatu.

