Terjemahan Kira-kira 40 orang, yang dipercayai anggota keluarga, jiran dan sahabat handai M Rukumani Devi dari Rawang, kini berada di ibupejabat polis Putrajaya untuk membuat laporan berhubung layan buruk pihak polis awal pagi ini ke atas surirumah itu yang sedang mogok lapar.

Sebelum itu, mereka berada di Hospital Putrajaya untuk menziarah Rukumani yang dimasukkan ke situ sejak jam 1.00 pagi ini.

Seorang anggota kumpulan tersebut memberitahu malaysiakini di luar ibupejabat polis berkenaan bahawa "kami bukan datang ke sini untuk membuat bantahan, tetapi untuk menziarah rakan dan jiran kami, Rukumani"

"Kemudian, kami akan menghantar wakil ke Kementerian Keselamatan Dalam Negeri untuk mendapatkan reaksi kerajaan terhadap rayuan pasangan tersebut," tambahnya.

Surirumah berusia 35 tahun ini meneruskan mogok laparnya di depan bangunan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di Putrajaya semalam.

Rukumani dan suaminya, Balakrishnan Naidu yang dikenakan perintah kediaman terhad mengikut Ordinan Darurat menuntut keadilan bagi kesnya itu.

Kit Siang melawat

Bagaimanapun, pada jam 1.00 pagi tadi, pihak polis datang dalam lima kereta peronda dan dikatakan telah membawa Rukumani ke hospital tersebut tanpa kerelaannya.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang turut melawat Rukumani di hospital tersebut tengahari tadi. Para pegawai perubatan di situ enggan bercakap ketika ditemui malaysiakini.

Hari ini merupakan hari ke-15 mereka mogok lapar. Rukumani didapati mengalami kekurangan teruk cecaiar dalam badannya, tetapi enggan menerima nasihat doktor supaya mengambil makanan,minuman serta mendapat rawatan perubatan.

Suaminya kini dirawat di Hospital Kota Bharu. Dia dimasukkan ke situ pada 10 Disember lalu kerana masalah ginjal yang teruk, juga kerana kekurangan cecair dalam badannya seperti yang dinyatakan dalam surat yang ditandatangani oleh pihak hospital. Berita asal