Pakar: Tak perlu ketuk ketampi untuk keluar benda dari bahagian sulit
Seorang pakar perubatan hari ini memberitahu suruhanjaya awam yang menyiasat kes klip video seorang wanita melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel di balai polis Petaling Jaya bahawa aksi itu tidak perlu bagi mengeluarkan objek asing dari kemaluan atau rektumnya.
Seorang pakar perubatan hari ini memberitahu suruhanjaya awam yang menyiasat kes klip video seorang wanita melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel di balai polis Petaling Jaya bahawa aksi itu tidak perlu bagi mengeluarkan objek asing dari kemaluan atau rektumnya.
Dr Zainab Samsuddin, pakar obstetrik dan ginekologi dari Hospital Kuala Lumpur berkata, mencangkung sahaja sudah memadai bagi mengeluarkan objek asing yang dimasukkan ke dalam rektum dan vagina manakala perbuatan ketuk ketampi berkemungkinan besar akan mengekalkan benda berkenaan di tempat itu.
"Ini kerana dalam keadaan mencangkung, otot pelvik akan mengendur, membolehkan apa jua objek asing terkeluar. Apabila seseorang itu berdiri, otot ini akan menegang, jadi apabila ketuk ketampi dilakukan, otot akan menegang dan mengendur dan ini tidak banyak membantu mengeluarkan benda berkenaan. Dengan mencangkung saja, objek itu akan lebih mudah terkeluar," katanya.
Beliau memberitahu demikian kepada suruhanjaya berkenaan yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan dianggotai bekas Timbalan Presiden MCA Tan Sri Lim Ah Lek, bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Kuthubul Zaman Bukhari, Ketua Biro Undang-undang Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim dan Datuk Hamzah Mohamed Rus yang bertindak sebagai setiausaha.
Dr Zainab berkata, seseorang yang mampu mengawal otot pelviknya dengan baik mampu mengekalkan objek asing di dalam vagina atau rektumnya tetapi jika dia dipaksa mencangkung bagi tempoh yang lama, objek yang dimasukkan ke dalamnya akan keluar juga akhirnya.
"Bukan kedudukan saja yang penting, tapi yang paling penting ialah kekuatan otot pelvik seseorang. Bagaimanapun, kemungkinannya lebih besar (bagi sesuatu objek dikeluarkan dari tubuh) jika seseorang itu mencangkung. Ketuk ketampi akan hanya menghapuskan keberkesanan mencangkung," katanya.
Mencangkung
Menurut Bernama, beliau berkata, jumlah ketuk ketampi yang dilakukan oleh seseorang tidak penting, tetapi tempoh dia duduk mencangkung memainkan peranan besar bagi mengeluarkan objek yang tersembunyi di bahagian rongga tubuhnya.
Dr Zainab berkata perbuatan memegang telinga semasa melakukan ketuk ketampi tidak memberi kesan dalam usaha mengeluarkan objek asing dari vagina atau rektum kerana perbuatan itu hanya bagi menjadikan seseorang itu stabil semasa melakukan ketuk ketampi.
"Ketuk ketampi memang mempunyai asas yang baik. Saya tidak kata ia tidak memberi sebarang kesan, tetapi mencangkung adalah cara lebih cepat dan mudah untuk mengeluarkan objek asing dari rektum atau vagina," katanya.
Beliau berkata, bagi meningkatkan lagi keberkesanan prosedur mengeluarkan objek asing dari rektum atau vagina, seseorang itu hanya perlu mencangkung dan batuk kerana tekanan yang dihasilkan oleh batuk akan membantu menolak keluar objek berkenaan.
Suruhanjaya itu juga hari ini mendengar keterangan Prof Madya Dr Ashraf Md Hashim, pakar dalam bidang pengajian Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Ashraf berkata, dari sudut agama, perbuatan mempamerkan aurat adalah salah melainkan ia benar-benar diperlukan.
Tutup aurat
Beliau berkata demikian apabila ditanya oleh suruhanjaya itu sama ada seseorang suspek boleh disuruh berbogel dan pemeriksaan dilakukan terhadap tubuhnya.
"Malah, walaupun ada keperluannya, ia tidak boleh dilakukan secara total. Darjah seseorang itu boleh dibogelkan tidak konklusif. Seseorang itu hanya boleh dibogelkan hingga ke tahap yang diperlukan sahaja.
"Ketuk ketampi diharuskan, tapi apabila perlu saja. Pemeriksaan tubuh juga dibenarkan oleh Islam, tapi mestilah dengan adanya perasaan syak yang munasabah bahawa seseorang itu telah melakukan kesalahan," katanya.
Dr Ashraf berkata seeorang itu tidak harus mendedahkan bahagian atas tubuhnya semasa melakukan ketuk ketampi kerana ia tidak perlu.
Beliau mencadangkan agar suspek diberi pakaian seperti apron semasa melakukan ketuk ketampi kerana ia diharuskan dari segi syarak.
Katanya. polis tidak patut mengarahkan suspek melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel kerana ia salah dari segi agama.

