Majlis Gudwara Malaysia (MGC) yang menjadi badan penaung yang mewakili penganut agama Sikh di Malaysia mengecam kenyataan penulis blog Raja Petra Kamaruddin terhadap Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Amar Singh Ishar Singh.

"Kenyataan perkauman ini mungkin boleh mencetuskan kebencian dan tidak menghormati serban Sikh kerana (kenyataan Raja Petra) telah menjadi tular yang mengakibatkan masyarakat Sikh menjadi sangat tersinggung.

"Serban buat penganut Sikh melambangkan penghormatan, rasa hormat diri, keberanian, keyakinan diri, kerohanian dan ketakwaan, " kata Presiden MGC, Jagir Singh dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan MGC tidak akan pergi ke tahap serendah Raja Petra dalam isu ini dan akan menghormati lunas undang-undang.

Semalam, Amar Singh mengecam kenyataan "merendah-rendahkan dan bersifat perkauman" yang dibuat oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin berhubung serban yang dipakai pengarah jabatan siasatan jenayah komersial itu.

RPK tuduh polis curi RM43.3 juta

Kenyataan itu dibuat selepas Amar menafikan dakwaan "tidak berasas" oleh Raja Petra yang menuduh polis mencuri RM43.3 juta ketika menyerbu kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Pavilion Residences di Kuala Lumpur.

Amar turut mencabar Raja Petra membuat laporan polis berhubung perkara itu dan tidak "bersembunyi di sebalik tirai siber".

Dalam tulisan balas kepada Amar di blognya, Raja Petra menyentuh tentang serban Amar, termasuk menyifatkannya sebagai "terlalu ketat" yang mengakibatkan penganut Sikh merasa tersinggung.

Raja Petra dalam tulisan bertajuk "Pasti serban Amar Singh terlalu ketat" antara lain menyatakan: "Serban Amar Singh pasti terlalu ketat sehingga menghalang peredaran darah ke otaknya".

Amar menerajui siasatan polis berhubung 1MDB yang kini menyebabkan Najib berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuas