Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anwar, MB nafi jentera kerajaan terlibat program agihan zakat

PRK PD | Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan berkempen menggunakan jentera kerajaan dalam program agihan zakat hari ini yang dihadirinya.

Anwar yang kini berkempen untuk menjadi anggota parlimen Port Dickson berkata, acara sempena Maal Hijrah yang diadakan di Masjid Jamek Permatang Pasir pagi tadi adalah anjuran satu NGO.

Ketika acara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Amiruddin Harun mengedarkan bantuan wang tunai kepada kira-kira 50 penerima.

Satu surat oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagaimanapun menyatakan asnaf (penerima zakat) yang terlibat wajib menghadiri program itu.

Ketika ditanya Malaysiakini tentang perkara itu, Anwar bertegas bahawa program itu adalah anjuran NGO dan oleh itu tiada sebarang penglibatan kerajaan.

Anwar sebelum ini memberi jaminan tiada jentera kerajaan akan digunakan dalam kempennya.

"Program dijalankan oleh pertubuhan belia, bukan kerajaan negeri," katanya ringkas kepada Malaysiakini sebelum merujuk soal itu kepada Amiruddin yang kemudian menyatakan perkara sama.

Menurut Amiruddin, tujuan MAINS menghantar surat itu hanya untuk mengenalpasti maklumat asnaf.

"Kami tiada senarai. MAINS hanya tolong panggil orang saja, jika tidak kami tidak tahu yang mana golongan miskin.

"Tiada masalah untuk sesiapa yang mahu bantu mereka," katanya lagi.

Ketika ditanya mengapa program itu berjalan serentak dengan kempen Anwar, Amiruddin berkata tiada pegawai MAINS yang berada kita program itu berjalan.

Menurut surat yang dilihat Malaysiakini itu, MAINS meminta penerima hadir ke program itu pada pukul 11.30 pagi.

Surat itu menyatakan ia dianjurkan pejabat Menteri Besar dan para penerima "wajib" hadir untuk menerima bantuan itu.

Dua individu penerima memberitahu Malaysiakini mereka menerima surat itu semalam.

Di acara itu, beberapa orang yang memakai baju Pakatan Harapan mengendalikan pendaftaran asnaf, menakala ada kain rentang berkenaan program pemeriksaan kesihatan percuma oleh sebuah kolej milik penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Penyampaian bantuan pula dibuat oleh Amiruddin selepas ucapan Anwar. Anwar juga dilihat tidak mengambil bahagian dalam pengagihan itu, tetapi berada kira-kira dua meter dari Amiruddin dan berbual-bual dengan beberapa orang.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS