PAU labuhkan tirai, Zahid masih bergelut isu dalaman
PAU 2018 | Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih bergelut dengan masalah dalaman sebagai presiden apabila Perhimpunan Agung Umno ke-72 malam ini melabuhkan tirainya.
Perhimpunan itu merupakan peluang Zahid menyatukan Umno selepas berlaku perbezaan pandangan antara golongan lama dan mereka yang mahu mereformasikan parti itu menjadi lebih progresif berikutan kekalahannya pada pilihan raya umum ke-14.
Banyak pihak juga ingin mengetahui masa depan dan arah tuju Umno, sama ada parti itu akan memberi tumpuan untuk menjadi pembangkang yang kuat, atau menubuhkan kerajaan perpaduan dengan komponen Pakatan Harapan seperti yang dicadangkan Zahid.
Bagaimanapun, Zahid nampaknya gagal menyatukan parti itu dengan rancangan yang kukuh, sebaliknya menerima kritikan dari dalam Umno sendiri.
Ketika ucapan dasarnya pada malam Sabtu lalu, beliau menggesa pembangkang bersatu dan menyatakan kemungkinan kerjasama dengan PAS, selain mendakwa Umno akan menjadi rebutan HARAPAN untuk membentuk kerajaan.
Mesej bercampur-campur ini membawa kepada kritikan bahawa parti itu tidak mempunyai arah tuju yang jelas seperti dinyatakan anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, yang mencabar Zahid untuk jawatan presiden Umno, Julai lalu.
"Kamu memimpin parti, perlu jelas. Kamu tidak boleh kata minggu lalu meneroka kerjasama dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan dan hari ini pula kata nak lawan, zalimlah, macam-macam," kata Khairy.
Pemuda Umno juga menyuarakan penentangan terhadap rancangan Zahid yang mahu mewujudkan kerajaan perpaduan.
"Saya tidak setuju maruah kita dijual hanya untuk mencari jalan kembali berkuasa melalui pintu belakang," kata ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki.
Malah, timbalan Zahid, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan penutupnya memberitahu perwakilan untuk "berhenti bermimpi" mengenai pembentukan kerajaan perpaduan.
Zahid bagaimanapun dilihat tidak mengendahkan kritikan berkenaan, terutamanya mengenai hala tuju parti berkenaan.
Beliau menghabiskan kira-kira 10 minit ucapan penutupnya untuk membidas pengkritiknya, dengan memberitahu mereka sepatutnya menyuarakan pendapat secara peribadi dan bukannya secara terbuka.
Dan ketika beliau menggesa Umno menjadi pembangkang yang kuat, Zahid tetap enggan mengatakan bahawa ia merupakan satu-satu pilihan yang ada. Sebaliknya tetap berpendapat bahawa parti itu kini dalam kedudukan 'government in waiting' (kerajaan menunggu).
"Kita harus meletakkan harapan itu sama ada ia berlaku untuk lima tahun akan datang atau esok, kita harus tidak jumud.
"Kita tidak tahu apa akan berlaku dalam mana-mana PRK (pilihan raya kecil, kita tidak tahu atau kita tidak juga akan tahu apa akan berlaku selepas satu persatu PRK," katanya.
Walaupun mendapat tentangan di peringkat lebih tinggi, Zahid dilihat memiliki sokongan di kalangan akar umbi.
Beberapa ahli Umno yang ditemui Malaysiakini menyatakan harapan mereka agar parti itu dapat bergabung dengan PKR yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan.

