Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi soal Anwar: Kenapa tak bertanding di kawasan majoriti Muslim?

PRK PD | Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mempersoalkan mengapa presiden PKR itu tidak bertanding di kawasan majoriti Muslim.

"Mengapa dia tidak cukup berani untuk bertanding di kawasan majoriti orang Islam?" soal Hadi dalam ceramah di Teluk Kemang, Port Dickson, semalam.

Beliau berucap dalam ceramah perdana pertama PAS bagi kempen PRK Port Dickson, yang secara rasminya bermula 29 September lalu selepas penamaan calon.

Kawasan Parlimen Port Dickson merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus pengundi Cina dan 22 peratus pengundi India.

Hadi juga menyifatkan Anwar sebagai seorang yang "tidak konsisten" iaitu dengan menunjukkan sikap berlainan di depan kelompok yang berbeza.

Sebagai contoh, beliau berkata Anwar akan menunjukkan sisi keagamaan dalam dirinya jika beliau berada di masjid, manakala boleh pula menari ketika bersama masyarakat India.

"Kita ada budaya sendiri. Masyarakat Tamil akan menghormati kita jika kita berpendirian," katanya lagi.

Hadi juga mengkritik PRK Port Dickson itu sendiri, yang diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar.

Katanya, ia adalah satu pilihan raya yang "luar biasa" kerana diadakan untuk seorang yang "mahu jadi perdana menteri Malaysia".

"Wajarkah hanya pengundi Port Dickson yang boleh memilih bakal perdana menteri yang akan memimpin seluruh negara?"

Ia berdasarkan perjanjian antara parti komponen Pakatan Harapan bahawa Anwar akan mengambil alih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Lihat Komen
ADS