Kerajaan memberi jaminan tidak akan menaikkan kadar tambang teksi tahun depan walaupun mengalami beban ekoran kenaikan harga minyak mentah baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Khamsiyah Yeop berkata, ini kerana pengangkutan awam amat penting kepada seluruh rakyat.

Beliau berkata, kerajaan menetapkan, penyemakan semula kadar tambang pengangkutan awam hanya dibuat setiap lima tahun sekali dan pengusaha tidak boleh menaikkan tambang sewenang-wenangnya tanpa kelulusan kerajaan.

"Kerajaan beri subsidi kenderaan darat sebanyak RM122.2 juta tahun ini berbanding RM120 juta tahun lalu, jadi dalam masa dua tahun ini tiada kenaikan tambang teksi," katanya menjawab soalan Senator Dr Mohd Puad Zarkashi di Dewan Negara hari ini.

Menurut Bernama, beliau berkata, kerajaan masih lagi menimbang pemberian subsidi diesel kepada semua pengusaha pengangkutan awam dan akan mengumumkan pemberian subsidi tersebut sebaik sahaja keputusan dicapai.

Ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Siti Zailah Mohd Yusoff mengenai pemantauan terhadap pengusaha teksi yang tidak menggunakan meter, Khamsiyah berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka.

"Kita sudah tambah bilangan pegawai penguatkuasa, kepada sesiapa yang melanggar peraturan kita boleh ambil tindakan gantung atau batalkan terus lesen mereka," katanya.