Dua anggota PGA mengaku salah curi senjata api
Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan mencuri 21 pucuk pistol dan revolver serta 596 butir peluru di Kem Batalion Ke-9, PGA Gong Badak pada 3 Disember lalu.
Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan mencuri 21 pucuk pistol dan revolver serta 596 butir peluru di Kem Batalion Ke-9, PGA Gong Badak pada 3 Disember lalu.
Konstabel Akmal Aliff Mohamad, 21, yang berasal dari Pengkalan Hulu, Perak dan Konstabel S. Sathiya Silan, 23, dari Port Dickson, Negeri Sembilan, mengaku melakukan kesalahan itu setelah pertuduhan dibacakan secara bersama kepada mereka di hadapan Hakim Zainal Azman Abdul Aziz.
Kedua-dua konstabel PGA itu didakwa memecah masuk stor persenjataan Kompeni "C" batalion itu antara kira-kira jam 2.30 pagi dan 5.30 pagi 3 Disember lalu dan mencuri 21 laras senjata api pelbagai jenis.
Mereka yang bertugas di PGA Gong Badak, juga dituduh mencuri dua kelopak peluru bagi pistol auto Styer, 570 butir peluru .38 Smith & Wesson dan 26 butir peluru 9mm.
Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama. Sabit kesalahan mereka boleh dipenjara sehingga 14 tahun.
Menurut Bernama, Hakim Zainal Azman menetapkan 17 Januari tahun depan sebagai tarikh jatuh hukuman dan memberi peluang kepada mereka untuk melantik peguam.
Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua anggota PGA itu diikatjamin sebanyak RM30,000 setiap seorang dengan seorang penjamin manakala pasport antarabangsa mereka diserahkan kepada mahkamah.
Ikatjamin
Terdahulu, Timbalan Pendakwar aya Ahmad Kamal Arifin Ismail menawarkan wang jaminan sebanyak RM50,000 setiap seorang dan memohon mahkamah supaya tidak mengurangkan jumlah itu kerana kesalahan yang dilakukan mereka adalah serius iaitu melibatkan kecurian senjata api.
Semasa mengemukakan rayuan, kedua-dua anggota PGA itu memohon agar mahkamah mengenakan jaminan kurang daripada RM10,000 setiap seorang dengan alasan mereka tidak mampu untuk menyediakan jumlah wang yang besar.
Sementara itu, seorang penyelia kilang ais berusia 23 tahun dan berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan, akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan esok berhubung kes kecurian senjata api di kem PGA Gong Badak itu.
Dia yang dipercayai rakan kepada kedua-dua anggota PGA itu adalah suspek ketiga yang dikenakan perintah tahanan reman berhubung kejadian itu.
Dalam kejadian kecurian senjata api di PGA Gong Badak pada 3 Disember lalu, polis menahan tiga lelaki termasuk dua anggota PGA di kem berkenaan dan seorang awam di Negeri Sembilan dan berjaya menemui semula kesemua senjata api berkenaan di tepi pintu pagar utama Balai Polis Lubok China, Alor Gajah, Melaka pada kira-kira jam 6 pagi, 4 Disember lalu.
Terdahulu, kedua-dua suspek itu dibawa ke mahkamah oleh beberapa anggota polis dan diiringi pegawai penyiasat yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, DSP Noor Mushar Mohamad.

