Mafrel: BN salah, PAS pun salah...
Terjemahan Pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada 6 Disember lalu didakwa dicemari pelbagai pelanggaran peraturan pilihanraya dan Badan Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil Malaysia (Mafrel) berkata ia mempunyai bukti mengenainya.
Pengerusi Mafrel, Abd Malek Hussin mendakwa, Barisan Nasional (BN) dan PAS melakukan lebih 40 kesalahan pada hari pengundian di semua sembilan pusat pengundi dan juga sepanjang tempoh 10 hari berkempen di Pengkalan Pasir.
Antara kesalahan paling serius yang didakwa berlaku ialah perbuatan menyamar sebagai pengundi, memberi rasuah wang dan harta-benda serta melanggar had perbelanjaan berkempen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebanyak RM100,000 bagi sebuah kerusi negeri.
"Semua ini merupakan kesalahan pilihanraya yang digariskan dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954," katanya kepada malaysiakini .
Abd Malek mendakwa, perbuatan menyamar sebagai pengundi berlaku di empat tempat mengundi di mana para pemantau Mafrel mengesan pengundi yang meninggal dunia yang nama mereka masih ada dalam senarai pemilih, didapati telah membuang undi pada hari berkenaan.
"Malah dalam satu insiden, seorang ditangkap mengundi dua kali di tempat pengundian yang sama! Selain itu ada pengundi mengadu tidak dibenarkan mengundi kerana rekod menunjukkan mereka sudahpun membuang mengundi," katanya.
Mengenai pelanggaran had perbelanjaan kempen, beliau berkata, ia berdasarkan kepada jumlah poster dan kain rentang kempen yang dipasang oleh semua pihak terbabit.
Laporan pada 31 Disember
"Saya percaya, kos membuat poster, kain rentang dan papan iklan besar itu sahaja melebihi jumlah RM100,000 yang dibenarkan," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan memberi butiran lanjut mengenainya kerana Mafrel akan mengumumkan laporannya, berserta bukti bergambar, pada 31 Disember.
Pilihanraya kecil itu dimenangi oleh calon BN, Hanafi Mamat yang menewaskan calon PAS, Hanifa Mat Yatim dengan majoriti 134 undi, manakala calon bebas, Datuk Ibrahim Ali memperolehi 415 undi.
Pilihanraya itu diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan tersebut, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar dari PAS pada 31 Oktober. Beliau menewaskan Hanafi dalam pilihanraya umum 2004 dengan kelebihaqn 56 undi.
Berikutan kekalahan di Pengkalan Pasir, maka PAS yang memerintah Kelantan sejak 1990, kini hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) PAS 23 dan BN 22.
PAS juga mengumumkan akan memfailkan petisyen membantah keputusan pilihanraya kecil itu, kerana mendakwa berlaku penyelewengan dalam proses pengundian yang menyebabkan calonnya kalah.
Menurut Abdul Malek lagi, selain melanggar beberapa peraturan pilihanraya, pemantauan Mafrel juga mendapati berlakunya penyalahgunaan jentera kerajaan sewaktu pilihanraya Pengkalan Pasir, termasuk yang membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga pengerusi BN.
"Kami menghadiri dua majlis rasmi BN yang dihadiri oleh Datuk Seri Abdullah. Adalah jelas kemudahan kerajaaan disalahgunakan. Kami ada foto untuk membuktikannya," katanya.
Guna wang rakyat
Menurutnya lagi, bukan BN sahaja yang terbabit dalam hal ini, tetapi pengerusi mafrel itu juga mendakwa, beliau ada bukti menunjukkan kerajaan PAS Kelantan juga menyalahgunakan jentera kerajaan di satu majlis rasmi ketika tempoh kempen.
Abdul Malek kecewa kerana perbuatan menyalahguna kemudahan kerajaan dalam kempen pilihanraya tidak dianggap satu kesalahan di bawah undang-undang pilihanraya Malaysia.
"Penyalahgunaan seperti itu adalah serius. Ianya melanggar standard dan norma antarabangsa. Ahli politik tidak sepatutnya dibenar menggunakan wang rakyat untuk kepentingan politik mereka. Ianya seperti mencuri dari rakyat," katanya.
Beliau juga menggesa supaya undang-undang pilihanraya dikaji semula untuk memperbaiki keadaan.
"Jika kita mahu membenarkan parti-parti politik mengguna jentera kerajaan, maka ia mesti diselia kerana ia membabitkan wang rakyat. Ia sepatutnya dilakukan secara adil, yang bermakna semua parti boleh menggunakan kemudahan tersebut sepertimana yang diamalkan di Australia, Amerika Syarikat dan Indonesia," katanya.
Mengenai dakwaan wujudnya pengundi hantu, Abdul Malek menyalahkan senarai pemilih yang menurutnya memberi ruang berlakunya penyelewengan.
"Jelas wujudnya keperluan untuk dikaji semula bagaimana senarai pemilih disediakan. Kita berdepan dengan proses pendaftaran di mana pemilih dibenarkan mendaftar menggunakan alamat kediaman yang tidak lengkap," katanya.
Katanya, SPR juga perlu memainkan peranan pro-aktif dalam membuang nama mereka yang sudah meninggal dunia daripada senarai pemilih dan bukannya menyerahkan kepada para waris untuk berbuat demikian.
Hapuskan undi pos
Malek juga berkata, pilihanraya kecil yang baru lalu itu mengesahkan betapa perlunya dikaji semula proses undi melalui pos di Malaysia, sambil merujuk kepada 150 undi pos yang diperolehi BN yang membantu kemenangan calonnya.
"Undi pos boleh menentukan keputusan sesuatu pilihanraya sepertimana di Pengkalan Pasir. PAS mendakwa, ia menang undi pemilih setempat, tetapi kalah kerana undi pos. Dan lebih penting lagi, proses mengundi melalui pos di sini mengetepikan dua aspek asas pengundian: kerahsian pemilih dan ketelusan," katanya.
Katanya, SPR perlu membenarkan ejen pemilihanraya memantau undi pos untuk mengelak dakwaan berlakunya ugutan dan undi diubah.
"Di Pengkalan Pasir, 43 daripada jumlah 216 undi, rosak. Ini hampir 20 peratus. Angka ini membimbangkan! Apakah puncanya? Kejahilan pemilih mengenai prosesnya? Atau diubah? Dan kerana proses itu tidak telus, maka kita tidak akan tahu sampai bila-bila pun...," katanya.
Katanya, salah satu pilihannya ialah dengan menghapuskan langsung undi pos seperti yang dilakukan oleh negara Iran.
"Di sana, anggota keselamatan diwajibkan beratur sama seperti rakyat biasa untuk membuang undi, dan tidak ada lagi undi pos," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.