Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazri: Saman MP keluar parti langkah sia-sia
Diterbitkan:  Oct 2, 2018 10:07 AM
Dikemaskini: 2:13 AM

Anggota Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan langkah Umno untuk menyaman anggota parlimen yang meninggalkan parti itu sebagai sesuatu yang sia-sia.

Menurut Sinar Harian, beliau yang dulu seorang peguam berkata, perjanjian taat setia yang dibuat dalam parti tiada penguatkuasaan di sisi undang-undang.

“Ini adalah soal hak asasi yang dijamin Perlembagaan iaitu kebebasan berpersatuan. Sekalipun ada perjanjian ianya tidak boleh diperkuatkuasakan.

"Sia-sia saja. Saya sebegai seorang peguam tidak nampak bagaimana parti boleh saman," katanya seperti dipetik.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Umno telah menghantar writ saman kepada wakil rakyat Umno yang meninggalkan parti selepas PRU ke-14.

Ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu, Zahid berkata saman itu untuk menuntut bayaran ganti rugi dengan kos dan menuntut wakil rakyat terbabit mengosongkan kerusi yang dimenangi mereka atas tiket Umno.

Nazri yang merupakan bekas anggota Majlis Tertinggi Umno berkata tiada negara lain yang mengambil tindakan undang-undang apabila ada pemimpin mereka yang keluar parti.

Sebelum ini, pakar perlembagaan Dr Aziz Bari juga menyifatkan Umno tiada locus standi untuk mengambil tindakan itu.

Tiada undang-undang yang menyekat mana-mana ahli untuk mengambil keputusan untuk keluar atau melompat parti, katanya lagi.

Selepas PRU ke-14, sejumlah anggota parlimen dan ADUN Umno bertindak keluar daripada parti itu, dengan yang terbaru dan paling menjadi perhatian adalah Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli) dan Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis).
 

Lihat Komen
ADS