Mahkamah tolak semakan kehakiman pengundi PD terhadap Danyal, SPR
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak semakan kehakiman oleh pengundi Port Dickson, Rosmadi Mohd Kassim untuk mencabar keputusan Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan sebagai anggota parlimen kawasan itu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan PRK.
Hakim Datuk Nordin Hassan tidak memberi kebenaran untuk permohonan Rosmadi didengar berdasarkan meritnya.
Menurut peguam Ranjit Singh yang mewakil Danyal dan peguam kanan persekutuan Amarjeet Singh, hakim membuat keputusan itu berdasarkan Artikel 51 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan anggota parlimen boleh meletakkan jawatan jika dia menandatangani surat peletakan jawatan dan menghantarnya kepada speaker.
Artikel itu menyatakan "seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen boleh melepaskan keahliannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan, jika dia seorang ahli Dewan Negara, kepada Yang di-Pertua Dewan Negara, atau jika dia seorang ahli Dewan Rakyat, kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat".
Peguam Rosmadi, M Reza Hassan berkata beliau akan menunggu arahan sama ada untuk membuat rayuan atau tidak.
Beliau berkata permohonan seorang lagi pengundi Port Dickson yang mencabar status kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding akan didengar Jumaat ini.
Rosmadi, 56, sebelum ini di dilaporkan menamakan Danyal dan SPR sebagai responden dan memohon kebenaran untuk mengisytiharkan peletakan jawatan Danyal tidak sah dan terbatal.
Dia juga memohon kebenaran certiorari untuk membatalkan notis SPR pada 20 September supaya pilihan raya kecil diadakan.
Dalam permohonannya Selasa lalu, Rosmadi berkata telah membuat laporan polis pada 24 September berhubung peletakan jawatan Danyal.
Dia kemudian memfailkan permohonan semakan mahkamah dengan asas Danyal melanggar angkat sumpah sebagai anggota parlimen yang dibuatnya pada 16 Julai, dan pada 12 September, ketika mengatakan sebab pengundurannya adalah kerana memberi laluan kepada Anwar.
Katanya, ia menunjukkan Danyal lebih setia kepada Anwar berbanding rakyat Malaysia dan telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan pengundi Port Dickson, kerana Danyal tidak muflis atau tidak mampu secara fizikal untuk menjalankan tanggungjawab sebagai anggota parlimen.
"Artikel 51 Perlembagaan Persekutuan memberikan ruang untuk anggota parlimen melepaskan jawatan, tetapi ia perlu diseimbangkan dengan kepentingan awam," katanya lagi.

