Mesyuarat delegasi Msia-China bincang isu klip video
Mesyuarat antara delegasi Malaysia dan China di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini turut membincangkan isu rakaman klip video wanita bogel di lokap polis yang pada mulanya dikatakan warga China.
Mesyuarat antara delegasi Malaysia dan China di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini turut membincangkan isu rakaman klip video wanita bogel di lokap polis yang pada mulanya dikatakan warga China.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama Perdana Menteri China Wen Jiabao.
Ini dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid yang turut menyertai mesyuarat selama kira-kira sejam itu.
Beliau berkata, Perdana Menteri China berpuas hati dengan siasatan berhubung isu tersebut dan menjelaskan ia tidak menjejas hubungan antara kedua-dua negara.
"Isu klip video disentuh sedikit sahaja oleh kerana Perdana Menteri China berpuas hati dengan siasatan dan beliau berkata insiden itu tidak menjejaskan hubungan dua hala antara China dan Malaysia," katanya kepada pemberita.
Menurut laporan Bernama , Wen sebelum itu mengadakan pertemuan tertutup dengan Abdullah.
Siasatan awam
Siasatan awam yang dijalankan sejak Isnin lalu bagi menyiasat kes klip video tersebut mendapati, wanita yang diarahkan berbogel dan ketuk-ketampi di lokap polis sehingga mencetuskan kontroversi itu adalah wanita Melayu tempatan berusia 22 tahun.
Azmi berkata, pada masa akan datang diharap pihak penguatkuasaan tidak keterlaluan dalam menjalankan tugas dan perlu menghormati warga asing walaupun mereka melanggar undang-undang negara.
"Kita perlu ingat bahawa mereka rakyat asing dan kerajaan serta negara mereka juga merasa maruah mereka tercabar dan rasa terhina jika kita menghina rakyat mereka.
"Ini adalah satu landasan yang semua pihak penguatkuasaan wajar mengambil maklum," katanya.
Wen mengadakan lawatan rasmi sehari ke Malaysia selepas selesai menghadiri sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang berakhir di Kuala Lumpur semalam.
Beliau tiba di ibu negara Ahad lepas menyertai EAS yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin 16 buah negara, yang terdiri daripada Asean+3 (10 negara Asean bersama China, Jepun dan Korea Selatan) serta India, Australia dan New Zealand.
Wen dijadual berlepas pulang hari ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.