Pengarah MyNewsNet Sdn Bhd yang memiliki portal Mynewshub, memohon maaf kepada bekas anggota parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad atas dakwaan fitnah yang diterbitkan portal itu tahun lalu.

Permohonan maaf itu dibuat oleh Mohd Arshad Khan di hadapan pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Darryl Goon sehari selepas Raja Bahrin memberi keterangan di mahkamah berhubung saman fitnah terhadap portal itu semalam.

Mohd Arshad dalam permohonan maafnya berkata pihaknya menarik balik artikel bertajuk "Wakil Rakyat PAN Cuti Mewah di UK Abai Mangsa Bah" daripada laman web tersebut dan memisahkan dirinya daripada penerbitan laporan berkenaan.

"Defendan tidak bermaksud menyinggung Raja Bahrin dalam artikel itu dan meminta maaf kepadanya jika menyakiti perasaan, maruah dan reputasinya.

"Kami akur dan kami tidak pernah bermaksud untuk mencemarkan imejnya di mata orang ramai," kata Arshad dalam permohonan maafnya.

Berikutan itu, Goon merekodkan penghakiman persetujuan.

Peguam Nadzratun Naim Hammad Azizi dan Nurilla Ellyna Nor Azman yang mewakili Raja Bahrin, berkata syarikat itu bersetuju menarik balik artikel berkenaan dan membuat permohonan maaf.

"Ia juga bersetuju untuk membayar jumlah ganti rugi dan kos yang tidak didedahkan sebagai sebahagian daripada persetujuan," katanya.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, permintaan maaf itu akan diterbitkan dalam akhbar harian berbahasa Melayu iaitu Berita Harian, Utusan Malaysia dan portal tersebut.

Defendan diwakili oleh peguam Ahmad Hazrin Abdul Rahman.

Semalam dalam keterangannya Raja Bahrin berkata laporan portal Mynewshub bahawa beliau melakukan percutian mewah di United Kingdom (UK) pada Disember 2016 adalah tidak benar dan fitnah.

Menurut Raja Bahrin, gambar yang disiarkan dalam portal itu diambil pada Oktober 2016.

Raja Bahrin yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, ketika artikel disiarkan pada 7 Januari, beliau sebenarnya berada di kawasannya di Kuala Terengganu.