Penduduk Kuala Muda bimbang, rumah goyang dipukul angin
Penduduk Kota Kuala Muda, dekat Sungai Petani, Kedah yang setahun lalu diancam tsunami kini hidup dalam kebimbangan, takut dipukul angin ribut pula.
Penduduk Kota Kuala Muda, dekat Sungai Petani, Kedah yang setahun lalu diancam tsunami kini hidup dalam kebimbangan, takut dipukul angin ribut pula.
Mereka tidak berasa selamat walaupun mendiami rumah panjang baru yang disediakan oleh kerajaan pada awal tahun ini.
Penduduk berkenaan mendakwa rumah yang dibina untuk mereka tidak kukuh dan tidak selamat, serta bergoyang apabila dipukul angin kuat di samping atapnya bocor.
Menurut mereka, keadaan ini menyebabkan mereka sering diselubungi kebimbangan dan ketakutan terutama jika ribut berlaku pada malam hari.
Seorang penghuni, Mat Salleh Ahmad (foto) berkata, anggota keluarganya tidak dapat tidur jika hujan kerana hampir keseluruhan bahagian dalam rumahnya basah.
Katanya, keadaan ini menyebabkan pakaian dan peralatan lain termasuk buku sekolah anaknya rosak dan tidak boleh digunakan dalam tempoh beberapa hari.
"Pernah berlaku atap rumah di kawasan ini diterbangkan angin apabila ribut. Walaupun, tiada kemalangan jiwa berlaku, namun kami sekeluarga amat bimbang dengan kejadan itu," katanya.
Rumah baru
Rumah panjang itu dibina oleh Syarikat Perumahan Negara (SPN) Berhad untuk menempatkan 220 keluarga mangsa tsunami dengan kebanyakannya golongan nelayan di kawasan Kota Kuala Muda.
Semua nelayan yang ditempatkan di rumah panjang sementara itu, akan dipindahkan ke rumah batu yang kini dalam pembinaan di kawasan berhampiran. Sehingga ini 40 daripada 120 unit telah disiap dibina oleh SPN.
Malaysiakini membuat tinjauan ke atas penempatan sementara itu hujung minggu lalu untuk melihat secara lebih dekat kehidupan mangsa tsunami ini setelah mendiami kawasan terbabit hampir setahun lalu.
SPN membenarkan mereka tinggal di rumah panjang tersebut selama dua tahun sebelum dipindahkan ke penempatan kekal tanpa dikenakan bayaran bil air dan elektrik.
Seorang lagi penduduk, Zaleha Ahmad berkata, ramai penghuni di kawasan ini merasa kurang selesa kerana keadaan dalam rumah amat panas terutama pada tengah hari.
Katanya, apabila tengah hari anak-anaknya tidak dapat belajar di dalam bilik kerana keadaannya sangat panas.
"Walaupun memasang kipas ia tidak cukup kerana bahang habanya yang masuk ke dalam rumah menyebabkan bayi sering menangis," katanya.
Masalah kecurian
Selain itu, Zaleha juga mendakwa struktur rumah itu tidak mampu bertahan selama dua tahun seperti yang dijamin oleh pihak pemaju.
"Tidak sampai setahun, rumah ini sudah mula berbunyi di sana-sini," katanya.
Basri Abdul Rahman (foto) pula mendakwa, tinggal di kawasan penempatan ini tidak begitu selamat kerana sering berlaku kes kecurian. Basikal anaknya dicuri beberapa bulan lalu.
Beliau berkata, kecurian itu lazimnya berlaku pada waktu malam, walaupun penduduk berada di dalam rumah.
"Basikal anak saya hilang, mungkin dicuri oleh budak-budak nakal atau penagih dadah kerana mereka juga mencuri tayar, lampu dan brek basikal," katanya lagi.
Beliau berkata, jika diberi pilihan, keluarganya mahu mencari penempatan yang lebih selamat kerana di kawasan yang sedia ini tidak mempunyai padang permainan kanak-kanak.
Katanya, keadaan ini menyebabkan ada kanak-kanak bermain bola di laluan jalan kawasan perumahan dan ini menyebabkan bola memasuki rumah dan ini berbahaya kepada kanak-kanak.

