Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isa akui pemimpin akar umbi Umno sokong kempennya

PRK PD | Calon Bebas PRK Port Dickson Tan Sri Isa Samad mengakui sebahagian pemimpin dan anggota Umno peringkat akar umbi di sana telah menyokongnya, walaupun selepas parti itu memutuskan untuk memboikot PRK itu.

Bagaimanapun Isa menafikan laporan The Malaysian Insight (TMI) yang memetik sumber sebagai berkata, pemimpin-pemimpin akar umbi ini telah melanggar keputusan boikot itu.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, ada salah faham di kalangan pemimpin dan anggota Umno berkenaan usaha kempennya.

"Mereka tidak boleh guna jentera (untuk saya) dan bukan dalam pasukan kempen saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sebuah restoran dekat ibu pejabat Umno Port Dickson, hari ini.

Isa kemudian memperkenalkan seorang lelaki yang duduk di sebelahnya sebagai seorang ketua cawangan Umno, tetapi tidak menyatakan identitinya.

"Dia datang berjumpa saya dan sokong saya. Apa masalahnya?" soalnya sambil menambah anggota Umno bertindak berdasarkan hak mereka dan tidak melanggar perlembagaan parti.

Menurut laporan TMI, hampir separuh daripada 53 cawangan Umno di kawasan parlimen itu berkempen untuk Isa.

"Jika Umno mahu ambil tindakan disiplin terhadap kami, terserah...Cuma tidak baik jika kami yang telah menerima banyak manfaat membiarkan Isa sendirian," kata seorang ketua cawangan parti itu yang tidak dinamakan, seperti dipetik.

Laporan itu juga memetik seorang lagi ketua cawangan - juga tidak dinamakan - sebagai berkata: "Dalam 53 ketua cawangan di Port Dickson, 23 hingga 25 penyokong kuat Isa.

"Lagi 12 dan 13 masih tidak buat keputusan. Tetapi mereka tidak menentang keputusan Isa untuk bertanding."

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Umno Bahagian Port Dickson Faizal Ramli berkata beliau tidak dapat mengesahkan laporan itu.

Bagaimanapun, katanya lagi, jika mereka membantu kempen Isa atas dasar peribadi, ia kerana mereka rapat dengan beliau.

Menjadikan anak Isa sebagai contoh, Faizal berkata ketua pemuda bahagian itu membantu kempen kerana hubungan keluarga mereka.

Beliau juga berkata anggota Umno di sana yang terlibat dalam kempen Isa mungkin dikenakan tindakan disiplin.

"Saya sudah nasihat jawatankuasa bahagian agar tidak berkempen untuk mana-mana calon.

"Jawatankuasa disiplin akan ambil tindakan (jika ada yang melanggarnya). Tetapi kita tiada hak untuk halang mereka daripada mengundi dan menyokong calon tertentu," katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS