Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwaan liwat terbaru: Polis ambil keterangan Lokman Adam

Polis telah mengambil keterangan Datuk lokman Noor Adam berhubung dakwaannya terhadap dakwaan liwat terbaru yang mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang merupakan anggota Majlis Tertinggi (MT) memberitahu Malaysiakini bahawa polis mengambil keterangannya di Menara KPJ di Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

"Ia bukan siasatan. Polis ambil keterangan saja berdasarkan laporan polis yang dibuat di Port Dickson. Seorang polis dari Port Dickson datang (untuk ambil keterangan).

"Saya tak menjawabnya, hanya berkata 'saya akan jawab di mahkamah'," katanya lagi.

Lokman berada di Menara KPJ untuk memberi sokongan kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang disoal siasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Polis.

Ketika dihubungi kemudian, Ketua Polis Daerah Port Dickson Aidi Sham Mohamed mengesahkan bahawa keterangan Lokman telah diambil.

Pada Isnin lalu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil membuat laporan polis terhadap Lokman yang menurutnya membuat dakwaan "dengan niat jahat".

Beliau mendakwa pemimpin Umno itu "cuba mengubah persepsi orang ramai terhadap Anwar" ketika kempen PRK Port Dickson sedang berlangsung.

Anwar pula menyifatkan dakwaan Lokman sebagai fitnah.

Dalam satu hantaran Facebook, Lokman mendakwa Mediacorp Singapura melaporkan seorang pelajar Indonesia telah membuat laporan polis di negara itu bahawa dia telah diliwat oleh Anwar.

Mediacorp kemudian menafikan ada menerbitkan laporan itu dan menghubungi Lokman untuk memadam hantaran itu. Organisasi itu juga berkata polis Singapura juga menafikan ada menerima laporan tentang perkara itu.

Lokman kemudian memadam hantaran itu dan menjelaskan artikel itu bukan terbitan Mediacorp.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS