BN Sarawak rangka manifesto pilihanraya

   

Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah mula merangka manifesto untuk menghadapi pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu, ketika ditanya mengenai persiapan manifesto BN berkata, drafnya sedang dibuat dan isi kandungannya akan diperhalusi.

"Saya telah mempengerusikan mesyuarat pertama mengenai manifesto itu bersama wakil parti komponen BN negeri dan kini kita sedang menyiapkan draf mengenainya," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Bengkel Penulisan Mengenai Pembangunan Luar Bandar di Kuching.

Menurut laporan Bernama , Alfred Jabu, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Pilihanraya BN Sarawak, berkata manifesto itu antara lain, menyentuh mengenai politik pembangunan, pendidikan, pembangunan luar bandar, kemudahan infrastruktur dan isu tanah adat.

Banyak pihak meramalkan kerajaan BN Sarawak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam suku pertama tahun depan bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan. Tempoh penggal lima tahun DUN Sarawak berakhir pada 29 Oktober 2006.

Pilihanraya kali ini, yang kesembilan sejak Sarawak mencapai kemerdekaan melalui Malaysia, akan menyaksikan pertambahan kerusi negeri daripada 62 kepada 71.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In