Paling Popular
Terkini
story images
story images

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi seruan kepada pihak polis agar berhenti menahan mereka yang membuat penghinaan ke atas beliau.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya pagi ini, Mahathir berkata sesuatu penghinaan tidak memberi kesan terhadap beliau dan ahli politik mesti menerima kritikan.

"Perkara itu (penangkapan) tidak sepatutnya berlaku. Saya tidak keberatan dihina oleh sesiapa pun, ia tidak akan menjejaskan saya. Terdapat satu kes di Pulau Pinang dan saya beritahu mereka (pihak polis) agar tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka.

"Ahli politik mesti menerima apabila dikritik, atau diejek," katanya.

Beliau diminta mengulas penahanan Azman Noor Adam baru-baru ini di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 kerana menyebarkan imej yang didakwa menghina Mahathir di media sosial (gambar atas).

Abang kepada Azman yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mengkritik Pakatan Harapan kerana tidak mengecam penahanan itu walaupun pemimpin gabungan itu sebelum ini membantah tindakan polis menggunakan Akta Hasutan terhadap mereka.

Berikutan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin dan beberapa anggota parlimen kerajaan menyelar penggunaan Akta Hasutan ke atas Azman.

Pada Mei lalu, polis Langkawi juga telah menahan seorang lelaki atas pertuduhan yang sama di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Lihat Komen
ADS