Akta Hasutan 1948 akan terus digunakan sehingga pengumuman rasmi untuk memansuhkan "undang-undang zalim" itu dibuat, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman.

"Selagi tiada pengumuman rasmi dibuat, tiada pembubaran, bermakna akta ini berjalan seperti biasa. Kecuali ada pengumuman atau penggubalan oleh kerajaan, barulah akta ini boleh tak digunapakai," katanya.

Terdahulu, beliau melancarkan Hari Pendaftaran Negara di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya.

Mohd Azis berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Mohamad Harun memberi penjelasan kepada beliau di sebalik sebab menggunakan Akta Hasutan untuk menahan Azman Noor Adam.

"IGP mengatakan bahawa akta ini masih ada, tiada pembubaran ataupun perubahan setakat ini. Jadi pihak polis hanya bertindak, kita lihat laporan polis telah dibuat ke atas Azman Noor Adam, di mana ada laporan polis dibuat, pihak polis hanya bertindak mengikut SOP yang ada," katanya.

Polis menahan adik kepada anggota majlis tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam itu Selasa lalu kerana didakwa memuat naik gambar yang menghina Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di media sosial.

Lokman berkata polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menahan Azman kira-kira jam 3 pagi di rumahnya di Bukit Subang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat mengesahkan bahawa polis menahan Azman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Berikutan itu, pemimpin Pakatan Harapan mengecam penggunaan berterusan Akta Hasutan ketika gabungan itu berusaha memansuhkan undang-undang berkenaan.

Antara mereka ialah timbalan menteri undang-undang, Mohamed Hanipa Maidin, Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng dan Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya.