Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KBS lapor kepada SPRM jika wujud penyelewengan dalam NFDP
Diterbitkan:  Oct 5, 2018 5:51 AM
Dikemaskini: Oct 5, 2018 2:50 AM

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya audit mendapati wujud unsur rasuah dan penyelewengan dalam pelaksanaan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau akan menilai sendiri pelaksanaan program itu sebelum melaporkan kepada SPRM, selepas dipercayai wujud unsur ketirisan melibatkan kontraktor yang dilantik secara terus dengan kos RM85 juta untuk membangunkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.

"Saya agak serius dalam perkara ini kerana apabila saya bertemu (pengarah NFDP) Lim Teong Kim, barisan kejurulatihan dan sekarang di sini, pun semua cakap benda yang sama. Apabila kita sedang sibuk membincangkan isu-isu yang besar, perkara asas seperti bola pun tidak mencukupi.

"AMD sepatutnya menjadi centre of excellence yang sama taraf dengan akademi Bayern Munich, Jepun dan Korea Selatan, tetapi disebabkan perkara-perkara sebegini, wujud banyak kelemahan," katanya kepada pemberita selepas sesi Townhall NFDP di Majlis Sukan Negara di ibunegara malam tadi.

Terdahulu, Syed Saddiq membincangkan serta menerima pandangan, kritikan dan cadangan mengenai pelaksanaan program bola sepak bersama lebih kurang 300 hadirin.

Syed Saddiq berkata walaupun kontraktor di AMD dibayar sebanyak RM85 juta sejak 2014, namun kemudahan yang disediakan tidak setaraf dengan nilai duit yang dibayar dan menegaskan bahawa masalah di NFDP lebih besar berbanding gaji Teong Kim sebanyak RM175,000 sebulan tanpa cukai.

"Apabila saya berjumpa Teong Kim dan sebanyak 175 jurulatih di NFDP, saya mendapat tahu bahawa banyak kemudahan tidak disiap, seperti padang tak buat, kalau buat tak ikut spek, bola tidak mencukupi, gaji jurulatih sebanyak RM500 sebulan tertangguh sekian lama. Saya juga mendapat tahu bahawa tiada pakar nutrisi, tempat tinggal untuk pakar fisioterapi dan pembekal makanan yang betul di AMD.

"Saya rasa kita harus melakukan penilaian semula dalam struktur ini untuk memperkasakan program ini. Kita juga tubuhkan jawatankuasa yang turut dianggotai oleh wakil ibubapa dan penyokong untuk penambahbaikan NFDP," katanya.

Ketika ditanya mengenai status peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar, beliau berkata Safirul telah menyerahkan surat peletakan jawatan tetapi jawatankuasa tersebut akan membincangkan isu itu sebelum sebarang keputusan diambil.

Syed Saddiq juga berkata pertemuan tertutup dengan bekas jurulatih bawah-16 tahun negara, Teong Kim pada petang semalam berjalan dengan lancar, namun tidak mahu menggulas lanjut.

Terdahulu, antara isu yang dipersoalkan pada sesi itu ialah ketiadaan kemudahan asas seperti hiburan dan televisyen di NFDP, kekurangan peralatan latihan seperti padang dan bola di pusat-pusat NFDP serta ketiadaan motivasi kepada pelatih.

- Bernama

Lihat Komen
ADS