Mahkamah diberitahu Datuk Sharif Jajang tidak isytihar kepentingan
Mahkamah Sesyen Klang hari ini diberitahu bahawa bekas anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamed Sharif Jajang tidak mengisytiharkan kepentingannya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah Sepang semasa perbincangan mengenai permohonan Lesen Menduduki Sementara (LMS) oleh Institut Kemahiran Memandu Sepang Sdn Bhd (IKMAS) diadakan.
Mahkamah Sesyen Klang hari ini diberitahu bahawa bekas anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamed Sharif Jajang tidak mengisytiharkan kepentingannya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah Sepang semasa perbincangan mengenai permohonan Lesen Menduduki Sementara (LMS) oleh Institut Kemahiran Memandu Sepang Sdn Bhd (IKMAS) diadakan.
Datuk Mansur Ramli, 55, Pegawai Kewangan negeri Selangor berkata, dalam mesyuarat yang diadakan pada 16 Jun 1997 dan dipengerusikan beliau selaku pegawai daerah Sepang pada masa itu, Mohamed Sharif juga tidak meninggalkan mesyuarat semasa perbincangan mengenai permohonan IKMAS untuk mendapatkan LMS bagi kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang diadakan.
"Sekiranya seorang ahli jawatankuasa tanah daerah itu isytiharkan kepentingannya dan keluar dari mesyuarat, ia akan dicatatkan dalam minit mesyuarat kerana dari segi amalannya jika seorang itu ada kepentingan dia tidak boleh ambil bahagian dalam mesyuarat," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah (BPR), Zulkarnain Hassan dalam perbicaraan Mohamed Sharif yang menghadapi tuduhan rasuah berhubung satu permohonan tanah di Sepang lapan tahun lalu.
Mohamed Sharif, 62, dituduh melakukan kesalahan itu dengan menggunakan kedudukan awam bagi faedah dirinya iaitu telah mengambil bahagian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah Sepang yang memperakukan permohonan Lesen Menduduki Sementara tanah di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang kepada IKMAS, anak syarikat Konsortium Sepang Berhad (KSB), di mana Mohamed Sharif mempunyai kepentingan.
Menurut Bernama, beliau didakwa melakukan kesalahan itu di bilik mesyuarat Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang pada 16 Jun 1997, ketika menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil yang dilantik sebagai Anggota Jawatankuasa Tanah Daerah Sepang.
Saksi keempat
Tuduhan mengikut Seksyen 2 (1) Ordinan Nombor 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970 itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mansur yang merupakan saksi keempat pendakwaan berkata keanggotaan jawatankuasa tanah daerah tersebut terdiri daripada pegawai daerah Sepang yang bertindak sebagai pengerusi, wakil-wakil rakyat dari parti kerajaan dan ketua penolong pegawai daerah tanah sebagai timbalan pengerusi merangkap setiausaha.
Beliau berkata, jawatankuasa itu berperanan untuk menimbang permohonan tanah bagi diperakukan kepada anggota Exco untuk kelulusan.
Perbicaraan hari keempat itu menyaksikan pendakwaan mengemukakan lima salinan minit mesyuarat jawatankuasa tanah daerah Sepang sebagai bahan kes untuk diteliti saksi itu.
Terdahulu, pada prosiding pagi, saksi ketiga pendakwaan Mohd Yahya Margona, 40, yang menjalankan perniagaan sekolah memandu di Banting dekat sini, menyambung keterangannya di hadapan Hakim Nor Afizah Hanum Mokhtar.
Sementara itu, perbicaraan hari ini tertangguh sebanyak dua kali setelah peguam Amy Chong Boon Chin memaklumkan bahawa peguam utama kes itu, Datuk Muhammad Shafee Abdullah menghadiri kes lain di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Perbicaraan disambung esok.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.