Pelajar parah didera, guru tuisyen ditahan reman
Polis menahan seorang guru tuisyen dan anak perempuannya di rumah mereka di Taman Perlis awal hari ini kerana disyaki mendera seorang pelajar berusia 9 tahun.
Polis menahan seorang guru tuisyen dan anak perempuannya di rumah mereka di Taman Perlis awal hari ini kerana disyaki mendera seorang pelajar berusia 9 tahun.
Wanita berusia 54 tahun serta anak perempuannya yang berusia 15 tahun itu ditahan pada jam 2.30 pagi tadi.
Polis hari ini mendapat perintah untuk menahan reman kedua-duanya selama lima hari untuk disiasat mengikut Akta Kanak-kanak 2001.
Ketua Polis Daerah Kangar Supt Yusof Mohd Diah yang ditemui di pejabatnya hari ini mengesahkan tangkapan itu.
Nor Adilla Shikin, pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Perlis, yang cedera di seluruh badan, termasuk lebam pada bahagian mata dan muka manakala kaki dan badan badannya terdapat kesan seperti dikelar, dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) jam 6.30 petang semalam.
'Kerja rumah'
Menurut laparan Bernama , bapa Nor Adilla, Abdul Halim Ibrahim, 43, seorang tukang masak sebuah restoran di Kangar berkata, anak sulungnya itu begitu rapat dengan gurunya dan sering bermalam di situ.
Katanya beliau terkejut apabila anaknya pulang ke rumah petang semalam dalam keadaan tidak bermaya dan cedera lalu membuat laporan di Balai Polis Kangar pada kira-kira jam 4.45 petang semalam.
Abdul Halim yang menetap di Taman Kemajuan dekat Kangar yang ditemui di HTF hari ini, mendakwa anaknya didera kerana dipercayai gagal menyiapkan kerja rumah atau mungkin kerana nakal.
Menurutnya, Nur Adilla belajar bahasa Inggeris dan matematik di rumah guru itu sejak dua tahun lalu.

