Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dulu Azmin dedah Khazanah jual baju dalam, coli - MCA
Diterbitkan:  Oct 5, 2018 5:51 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Timbalan presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Khazanah Nasional tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan.

Katanya, jika ia benar-benar berlaku maka beliau tertanya-tanya siapa yang melantik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Khazanah – di mana Azmin dilihat terlalu berminat dengan pelaburan terdahulu Khazanah berkaitan pakaian dalam wanita.

Wee juga mempersoalkan adakah pandangan tersebut pendirian Pakatan Harapan (HARAPAN) atau pendapat peribadi Mahathir sendiri.

Beliau juga teringat bagaimana Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberi jaminan bahawa projek kereta nasional ketiga tidak akan melibatkan dana awam.

“Setahu saya, sepanjang pemerintahan, BN tidak pernah menjual Khazanah Nasional kepada pihak swasta. Sejak bila Khazanah itu menjadi milik swasta di bawah kerajaan HARAPAN,” soal Wee dalam kenyataannya, hari ini.

Dr Mahathir hari ini menepis kebimbangan Wee berkaitan penggunaan dana awam untuk projek kereta nasional ketiga selepas diumumkan pembabitan SilTerra Malaysia Sdn Bhd dalam projek berkenaan.

Sumber dana SilTerra

Dr Mahathir memberikan reaksi itu selepas Wee yang menyatakan potensi kerjasama anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd dalam projek tersebut akan menimbulkan keraguan terhadap janji kerajaan bahawa dana awam tidak akan digunakan bagi projek berkenaan.

“Khazanah bukan kerajaan, ia adalah sebuah syarikat dan mereka bebas untuk menjalankan perniagaan. Jika ada syarikat dalam Khazanah yang berminat (menyertai projek tersebut), mereka boleh melabur,” kata Dr Mahathir

Melalui kenyataan itu, Wee turut mengacukan persoalan kepada Lim mengenai sumber dana yang akan digunakan dalam pelaburan SilTerra itu nanti.

“YB Lim Guan Eng, apakah pelaburan Silterra dalam projek kereta nasional ketiga langsung tidak melibatkan dana awam? Kalau begitu, Dana siapa pula,” soal Wee.

Wee kemudiannya merujuk kepada Dr Mahathir pula dengan persoalan berbaur sindiran:

“Agaknya siapa yang melantik dirinya sebagai Pengerusi Khazanah Nasional baru-baru ini? Mana mungkin Khazanah Nasional tiada kaitan dengan kerajaan,” soalnya sambil mengakhiri posting Facebook berkenaan dengan tanda pagar "#ridiculousanswer".

SilTerra adalah projek kepentingan nasional strategik untuk mempromosikan pengeluaran semikonduktor dan pemangkin bagi pelaburan teknologi tinggi di Malaysia.

Sejak ditubuhkan pada 1995, SilTerra telah menyediakan kepada banyak syarikat reka bentuk dan produk fabless utama dunia merangkumi segmen elektronik pengguna, komunikasi dan pengkomputeran serta pasaran peranti modal.
 

Lihat Komen
ADS