Kuli: Semangat DEB dalam RMK-9 peluang terakhir untuk orang Melayu
Semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang akan diserapkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) mungkin merupakan peluang terakhir untuk melihat negara ini membangun sepenuhnya menjelang 2020 tanpa mencicirkan kepentingan Melayu.
Semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang akan diserapkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) mungkin merupakan peluang terakhir untuk melihat negara ini membangun sepenuhnya menjelang 2020 tanpa mencicirkan kepentingan Melayu.
Pengerusi Jawatankuasa Kongres Kepentingan Bangsa (JKKB), Tengku Razalaeigh Hamzah berkata, penggerak agenda Melayu perlu diberi peluang untuk mengetahui rancangan itu dengan lebih mendalam sebelum DEB dibentang dan dilaksanakan.
Tengku Razaleigh yang juga anggota Parlimen Gua Musang berkata, beliau percaya tindakan itu bukan bertujuan mencari kelemahan tetapi untuk memastikan tiada satu pun bidang kepentingan Melayu tertinggal dalam rancangan kerajaan itu.
"Agenda Melayu bukan sekadar mengenai berapa banyak sekolah baru, jambatan baru dan lebuh raya baru yang akan dibina di kawasan orang Melayu. Saya percaya ia juga bukan sahaja untuk menambahkan bilangan kontraktor Melayu yang mungkin mendapat faedah daripada sebarang projek pembangunan.
"Agenda Melayu (DEB) mesti dilihat ke arah menyelesaikan pelbagai isu dan masalah orang Melayu," katanya semasa menyampaikan ucaptama bertajuk "Gagasan Survival Bangsa: Menebus Kehilangan, Mengisi Masa Depan" di Kongres Kepentingan Bangsa di Kuala Lumpur hari ini.
Merangka kaedah
Menurut Bernama, Kongres Kepentingan Bangsa dianjurkan JKKB yang ditubuhkan melalui Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu pada Ogos 2005 itu, menjadi platform dan wadah penggerak agenda Melayu dalam memperkasakan kedudukan dan kepentingan orang Melayu.
Kongres selama dua hari yang dihadiri ilmuan, sasterawan, budayawan, ahli akademik dan pelajar itu akan menyentuh soal martabat dan kepentingan Melayu dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosio-budaya, politik dan kepimpinan Melayu.
Ia bertujuan membantu kerajaan melaksanakan RMK-9 yang akan bermula tahun depan serta menyokong kerajaan melaksanakan kembali DEB dengan membantu merangka kaedah dan strategi baru pelaksanaannya bagi memastikan matlamat yang hendak dicapai benar-benar direalisasikan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Kongres dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Datuk Suhaimi Ibrahim.

