Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menggesa Datuk Seri Ronald Kiandee menarik diri daripada penyiasatan semula Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap skandal 1MDB.

"Kiandee harus menarik diri daripada proses siasatan semula yang dijalankan PAC ke atas skandal 1MDB kerana beliau adalah Timbalan Speaker bagi persidangan parlimen ke-13 yang menolak soalan dan perbahasan berhubung skandal 1MDB.

"(Tindakan itu) menjejaskan martabat parlimen Malaysia dan negara, sekali gus menimbulkan persoalan tentang konflik kepentingan," kata pemimpin veteran itu ketika berucap pada ceramah kopitiam pilihan raya kecil Port Dickson di DS Kopitiam dekat Lukut, hari ini.

Sidang parlimen ke-13 menyaksikan Kit Siang digantung daripada hadir sesi Dewan Rakyat dan anggota parlimen tidak dibenarkan membahaskan skandal 1MDB.

"Malah, saya telah digantung selama enam bulan sebanyak dua kali pada persidangan parlimen ke-13 yang lalu, hanya kerana ingin mendapatkan kebenaran mengenai skandal 1MDB.

"Kiandee boleh terus menjadi Pengerusi PAC tetapi untuk berlaku adil, beliau tidak harus terlibat dalam proses siasatan semula ke atas skandal 1MDB," katanya lagi.

Kit Siang juga menggesa Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh (MP Ipoh Timor) untuk mengetuai siasatan semula ke atas skandal 1MDB.

Pada Ogos lalu, parlimen meluluskan usul yang mengarahkan PAC supaya "menjalankan siasatan semula secara terperinci berhubung pengubahan wang haram dan skandal membabitkan 1MDB dan syarikat-syarikat berkaitannya untuk memulihkan maruah Dewan Rakyat; dan semua maklumat yang berkaitan harus didedahkan kepada umum."

Ronald yang juga MP Beluran dilaporkan berkata semua ahli PAC Parlimen bersetuju menetapkan 29 Oktober ini sebagai prosiding pertama siasatan semula 1MDB dan akan memanggil bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang bagi memberikan keterangan di hadapan PAC Parlimen.