BERITA Malaysiakini

8 ditahan disyaki terbabit dalam tindakan memudaratkan keselamatan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Lapan lelaki termasuk tujuh warga asing ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor, pada 24 Sept lepas kerana disyaki terlibat dalam tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan persekutuan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata kesemua suspek mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis, sama ada sebagai pelajar, bekas pelajar atau bekas tenaga pengajar.

“Tangkapan dibuat hasil risikan polis berhubung usaha sebuah kumpulan pengganas yang memegang ideologi Salafi Jihadi di Yeman untuk menubuhkan pusat pengajian Islam di rantau Asia Tenggara bagi menyebarkan fahaman ‘Salafi Jihadi’.

“Hasil siasatan polis dan perkongsian risikan daripada agensi risikan asing mendedahkan bahawa tenaga pengajar serta pelajar asing di pusat pengajian Islam itu mempunyai hubungan dengan sebuah madrasah di Dammaj, Yeman yang diasaskan oleh Sheikh Muqbil Hadi Al Wadi’I seorang tokoh Salafi Jihadi yang ekstrem,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata madrasah di Yeman itu berpegang kuat dengan ideologi Salafi Jihadi yang menghalalkan pembunuhan orang bukan Islam dan orang Islam yang tidak sealiran dengan mereka, yang dianggap kafir serta melabelkan sistem demokrasi sebagai ‘toghut’ iaitu tidak mengikut hukum Allah.

Tambah Mohamad Fuzi lagi, soal siasat ke atas semua suspek mendedahkan bahawa mereka menolak sistem demokrasi dan mempunyai fahaman ekstrem seperti lelaki dan wanita diharamkan memakai seluar, mendakwa pengajian sekular di institusi pengajian tinggi awam dan swasta adalah haram selain tidak dibenarkan bekerja kerana terdapat percampuran lelaki dan wanita.

“Mereka turut melabelkan umat Islam lain yang mengamalkan perkara itu sebagai bidaah serta terkeluar daripada agama Islam. Turut dirampas ialah buku, yang kebanyakkannya ditulis oleh tokoh Salafi Jihadi,” katanya

Mohamad Fuzi berkata tangkapan pertama dilakukan di Perlis melibatkan enam warganegara asing berusia antara 24 dan 38 tahun, iaitu pelajar di pusat pengajian Islam di negeri itu, iaitu lima dari sebuah negara Eropah manakala seorang lagi dari sebuah negara di benua Amerika.

Seorang daripada suspek adalah adik ipar kepada seorang rakyat dari negara jiran di Asia Tenggara yang mempunyai hubungan dengan madrasah Sheikh Muqbil di Yeman dan sedang menjalani latihan senjata api.

“Risikan juga mendedahkan bahawa mereka mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Daesh atau lain-lain kumpulan ekstremis yang bergerak di negara asal mereka,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata tangkapan kedua dilakukan di Kuala Lumpur melibatkan seorang suspek berusia 33 tahun, warganegara sebuah negara di Timur Tengah, yang juga bekas tenaga pengajar di pusat pengajian yang sama di Perlis.

Menurut beliau, suspek aktif menganjurkan kelas-kelas agama yang tidak mendapat tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri bagi menyebarkan idelogi Salafi Jihadi dalam kalangan rakyat Malaysia di sekitar Lembah Klang.

Tangkapan ketiga pula dilakukan di Muar, Johor melibatkan seorang peniaga warga tempatan berusia 32 tahun yang juga bekas pelajar di pusat pengajian Islam di Perlis pada 2014, di mana suspek berkenaan menolak sistem demokrasi yang dianggap ‘toghut’ dan menyokong pelaksanaan sistem khalifah di negara ini.

“Suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dengan keganasan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.

Mohamad Fuzi berkata tangkapan dibuat bagi membendung penyebaran idelogi Salafi Jihadi yang menjadi pemangkin kepada tindakan ganas kumpulan seperti Islamic State (IS), Al- Qaeda, Jemaah Islamiah (JI), Kumpulan Abu Sayyaf dan Boko Haram.

“Ini bukan kali pertama elemen Salafi Jihadi asing menggunakan Malaysia sebagai pangkalan untuk menyebarkan dan mengrekrut anggota baru. Modus operandi yang sama pernah digunakan oleh Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Bashir, pemimpin kumpulan JI yang memasuki Malaysia pada 1985 dan menubuhkan pusat pengajian Islam di Negeri Sembilan dan Johor bagi menyebarkan idelogi Salafi Jihadi selain mengrekrut anggota baharu bagi JI,” katanya.

- Bernama