Wisma Putra nafi minta bantuan Hishammuddin
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menafikan laporan mendakwa kerajaan sedang mendapatkan bantuan daripada bekas naib presiden Umno bagi menangani isu hubungan dua hala dengan Arab Saudi.
Menegaskan hubungan Putrajaya - Riyadh berada dalam keadaan baik Saifuddin berkata beliau juga tidak bertemu dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein seperti disiarkan dalam laporan The Malaysian Insight (TMI) hari ini.
"Saya tak berjumpa Hishammuddin, Wisma Putra tidak menggunakan bantuan Hishammuddin.
"Hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi berada dalam keadaan baik dan tidak terjejas dengan pembatalan dua program seperti yang dinyatakan," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, dengan memetik sumber yang tidak dinyatakan TMI melaporkan kerajaan sedang mendapatkan bantuan Hishammuddin untuk memulihkan semula hubungan dengan Arab Saudi.
Kata sumber itu beberapa keputusan kerajaan Pakatan Harapan menjejaskan hubungannya dengan Arab Saudi yang sebelum ini mesra di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Antara keputuan yang didakwa tidak disenangi Riyadh ialah pembatalan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman yang dicadangkan oleh raja Saudi itu ketika lawatannya tahun lalu.
Kata Saifuddin pertemuan beliau dengan Menteri Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir dan duta negara itu Mahmoud Hussein Al-Qattan baru-baru ini menghasilkan kesan yang positif.
Katanya beliau bertemu Mahmoud kira-kira tiga bulan lalu untuk menjelaskan pendirian kerajaan dan kedua-dua pihak bersetuju hubungan baik yang ada sekarang perlu diperkukuhkan.

"Baru-baru ini semasa di New York saya mengadakan perjumpaan yang mesra dengan Adel.
"Saya menjelaskan kepadanya kedudukan kerajaan dan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi," katanya.
Saifuddin juga menambah, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengeluarkan kenyataan rasmi bersama bagi menjelaskan kedudukan semasa hubungan dua hala negara.
"Pegawai-pegawai kami sedang bekerjasama untuk menyiapkan kenyataan tersebut," katanya.

