Najib buat minda Mahathir kekal tajam
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perseteruannya dengan Datuk Seri Najib Razak menjadi satu daripada rahsia kesihatan dan usia panjangnya.
Menurut perdana menteri beliau percaya memastikan tubuh dan minda sentiasa aktif boleh menyumbang kepada usia yang panjang selepas bersara.
"Ia bukan sekadar tentang otot, tapi juga otak. Kalau anda tidak menggunakan otak anda, kemampuannya boleh merosot.
"Kemudian kemampuan untuk bercakap, bersyarah, bersuara, mengadu - semua itu akan hilang kerana otak anda tidak lagi berfungsi," katanya semasa menyampaikan ucapan pembukaan sebuah persidangan sempena Hari Orang Tua Antarabangsa di Kuala Lumpur hari ini.
Justeru kata Dr Mahathir adalah baik untuk orang tua kekal menggunakan minda masing-masing bagi memastikan ia kekal sihat.
"Saya rasa memang bagus untuk orang tua terus rajin membaca, menulis dan juga bertengkar - kerana itu akan melatih otak anda.
"Saya berselisih faham dengan perdana menteri sebelum ini jadi pada setiap masa otak saya aktif berfikir tentang cara untuk menukar kerajaan," katanya yang kemudian disambut ketawa oleh orang ramai yang hadir.

