Nelayan mangsa tsunami masih menunggu bantuan bot
Isu bantuan bot kepada nelayan yang menjadi mangsa tsunami di Kota Kuala Muda, Kedah masih belum selesai walaupun bencana itu sudah hampir setahun berlalu.
Isu bantuan bot kepada nelayan yang menjadi mangsa tsunami di Kota Kuala Muda, Kedah masih belum selesai walaupun bencana itu sudah hampir setahun berlalu.
Beberapa orang nelayan mangsa tsunami yang sepatutnya menerima bantuan bot berkenaan dari pihak berkuasa, sehingga kini masih menunggu bot-bot yang dijanjikan itu.
Salah seorang daripada mereka, Zakaria Abidin (foto), 35, sudah mengisi pelbagai jenis borang untuk mendapatkan bot baru tetapi sehingga hari ini belum menerimanya.
Pada Mei lalu, beliau mengisi borang untuk mendapatkan pinjaman Skim Dana Nelayan Kementerian Pertanian Asas Tani bagi membeli sebuah bot baru tetapi beliau diberitahu skim itu sudah dihentikan.
"Saya tidak tahu mengapa skim ini diberhentikan sedangkan ramai lagi nelayan di Kuala Muda tidak mempunyai bot kerana musnah dalam tsunami itu," katanya.
Beliau berkata, sebelum itu beliau sudah mengisi pelbagai borang dari jabatan dan agensi kerajaan untuk mendapatkan bantuan bagi membeli bot tetapi sehingga ini tidak mendapat jawapan.
Orang bujang
Dalam pada itu, Zakaria mendakwa pembahagian bot yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu terutama dari badan bukan kerajaan (NGO) tidak dilakukan secara telus.
"Mengapa ramai orang bujang mendapat bantuan itu? Sepatutnya yang diutamakan ialah nelayan yang sudah bekeluarga, lebih-lebih lagi yang mempunyai ramai anak.
"Ada juga golongan bukan nelayan turut mendapat bantuan bot dan ini membuktikan pembahagiannya dibuat berdasarkan pilih kasih," katanya ketika ditemui di Kuala Muda baru-baru ini.
Bot Zakaria musnah dilanda tsunami menyebabkan beliau terpaksa menumpang bot rakan untuk terus pekerjaan menangkap ikan yang diwarisinya sejak 20 tahun lalu. Beliau mempunyai dua anak yang masih kecil.
Beliau berkata, pendapatannya kini jauh berkurangan berbanding ketika memiliki bot sendiri iaitu purata RM600 dan RM700 sebulan.
"Hari ini saya cuma mendapat RM10," katanya lagi.
Skim dihentikan
Seperti Zakaria, seorang penduduk, Musa Salleh (foto), 62, dari Kampung Padang Salim juga belum mendapat bantuan bot walaupun membuat permohonan sebelum Skim Dana Nelayan ditutup.
Katanya, sebelum ini beliau diminta oleh pihak-pihak berkenaan supaya membuat permohonan dari skim tersebut bagi menggantikan botnya yang rosak teruk dalam bencana ombak besar itu.
Seorang lagi nelayan yang enggan namanya disiarkan berkata, masalah ini tidak selesai kerana pihak-pihak berkenaan membahagikan bantuan itu mengikut kroni masing-masing.
"Ketua persatuan membahagikan bantuan kepada anak-anak buah mereka walaupun tidak bekerja sebagai nelayan," katanya.
Lebih pelik lagi katanaya, nelayan yang berumur 20 tahun juga mendapat bantuan sedangkan mereka yang bekeluarga dan mempunyai anak ramai, diabaikan.

