Tiada perjanjian dengan editor S'wak Report, kata penulis buku 1MDB
Wartawan Wall Street Journal Tom Wright yang menulis buku Billion Dollar Whale berkata dia tidak ada apa-apa persetujuan dengan editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown tentang pendekatan yang diambil dalam melaporkan skandal 1MDB.
Bercakap pada sesi dialog di Kuala Lumpur pagi ini, Wright juga menafikan dakwaan Rewcastle Brown bahawa laporan yang dibuatnya bersama Bradley Hope berhubung isu berkenaan menjejaskan keselamatan sumbernya sehingga menyebabkan penahanan beberapa individu yang dikaitkan dengan sumber berkenaan.
"Itu tak betul. Pertama sekali laporan kami bebas dari proses laporan Rewcastle Brown.
"Tiada perjanjian antara kami tentang bagaimana kami mahu membuat laporan itu bersama atau apa-apa seumpamanya," katanya di festival Cooler Lumpur.
Sebelum ini, Rewcastle Brown mendakwa Wright dan Hope mendapatkan maklumat penting berhubung skandal 1MDB daripada sumbernya namun tidak memberi kredit kepada portal Sarawak Report.
Rewcastle Brown juga menuduh kedua-dua wartawan itu melanggar persetujuan untuk tidak menyiarkan semula dokumen yang diperoleh daripada sumber itu yang memberi perincian tentang pemindahan dana ke dalam akaun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Dia (Rewcastle Brown) mungkin merujuk kepada dokumen yang kami siarkan atas talian berhubung pemindahan wang ke dalam akaun Najib, dan tidak benar bahawa ia menyebabkan penahanan orang lain atau menjejaskan keselamatan sesiapa," katanya.
Wright juga menegaskan bahawa pendakwaan Najib oleh kerajaan ketika ini "tiada kaitan" dengan dokumen yang disiarkan oleh Wall Street Journal.
"Ia tak ada kaitan dengan dokumen yang saya siarkan di atas talian, sebaliknya ia mempunyai kaitan dengan hakikat bahawa kami melaporkan isu ini dan mereka tidak mahu ia disiarkan," katanya.
"Recastle Brown fikir ada perjanjian dengan kami untuk melaporkan sama-sama isu ini tiga tahun lalu, namun pihak kami berbeza pendapat tentangnya.
"Kami percaya kami melaporkan secara bebas, sementara dia fikir ada perjanjian antara kami dengannya. Tapi kami tidak beranggapan sebegitu," tambahnya.
Wright bagaimanapun memuji kerja Recastle Brown berhubung isu itu dan menambah bahawa dalam bukunya dia mengakui peranan penting dimainkan editor Sarawak Report itu dalam membongkar skandal 1MDB.

