Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Shafee baca buku Billion Dollar Whale dengan mata tertutup'

Pengarang buku Billion Dollar Whale tidak bersetuju dengan pandangan peguam terkemuka, Tan Sri Shafee Abdullah bahawa kandungan buku itu berpotensi membebaskan anak guamnya, Datuk Seri Najib Razak daripada pertuduhan berkaitan 1MDB.

Tom Wright berkata demikian ketika mengulas kenyataan Shafee yang mendakwa telah membaca buku itu sebanyak tiga kali.

"Saya tidak setuju dengan bacaan Shafee.

"Tidak ada dalam buku itu yang mengatakan Najib tidak tahu mengenainya (sumber wang dalam akaun banknya)," kata Wright semasa sesi dialog yang diadakan sempena acara The Cooler Lumpur Festival di Black Box, Publika hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai dakwaan Shafee bahawa beberapa bahagian dalam buku Billion Dollar Whale mengesahkan Najib tidak bersalah dalam skandal 1MDB.

Wright berkata, Shafee mengatakan telah membaca buku itu sebanyak tiga kali tetapi masih gagal memahami kandungannya.

"Dia (Shafee) kata dia baca buku itu tiga kali tapi saya rasa dia membacanya tiga kali dengan matanya tertutup," kata Wright.

Peguam terkemuka itu pada Khamis mendakwa telah membaca tiga kali buku berkenaan dan mahu bertemu Wright untuk membuktikan apa yang ditulisnya mengesahkan bahawa Najib tidak tahu mengenai kemasukan dana ke akaun peribadinya.

Antara lain, Shafee berkata ketika beberapa perenggan buku itu menyatakan Najib dikelirukan oleh ahli perniagaan, Jho Low, terdapat bahagian lain dalam buku berkenaan menyimpulkan bekas perdana menteri itu mungkin tahu mengenai dana haram berkenaan.

Shafee sebelum ini mendakwa beliau "sangat teruja" mengetahui mengenai buku berkenaan.

Katanya adalah lebih menarik jika buku itu dapat dijadikan sebagai bukti dalam perbicaraan Najib.

Lihat Komen
ADS