Penulis buku Billion Dollar Whale, Tom Wright hari ini berkata beliau tiada masalah dengan penglibatan pelakon kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh dalam menghasilkan filem berdasarkan buku berkenaan.

"Jika anda tunjukkan kepada saya yang Michelle Yeoh telah melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang, maka saya akan risau, tetapi tidak ada yang menyatakan itu kepada saya," kata Wright semasa sesi dialog yang diadakan sempena acara The Cooler Lumpur Festival di Black Box, Publika.

Beliau berkata, kritikan terhadap penglibatan Yeoh kebanyakannya disebabkan sokongan terbuka pelakon antarabangsa itu kepada BN, sebelum pendiriannya berubah selepas pilihan raya umum ke-14 lalu.

"Dia menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya lalu kerana keluarganya adalah ahli politik MCA dan banyak orang menyokong BN pada 2013, malah Mahathir".

"Saya tidak terlibat di Malaysia, saya tidak ikuti politik. Saya tak rugi apa-apa, jadi saya tidak mempunyai masalah dengan ini," katanya.

Wright berkata beliau dan penulis bersama buku berkenaan, Bradley Hope tidak pernah berhasrat mengadaptasikan buku itu menjadi sebuah filem.

Beliau berkata mereka hanya memilih untuk memasukkan lebih banyak babak dan penerangan bagi menjadikan buku itu lebih mudah dibaca.

Pada masa yang sama, Wright berkata perbincangan dilakukan dengan beberapa penerbit lain tetapi keputusan muktamad dibuat untuk menandatangani perjanjian dengan penerbit Crazy Rich Asia, Ivanhoe Pictures.

"Mereka (Ivanhoe) melakukan kerja yang baik dengan Crazy Rich Asia dan mereka baru menandatangani perjanjian bersama dengan Michelle Yeoh," katanya.

Sebelum ini, pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown mengkritik penulis buku itu kerana membuat perjanjian dengan Yeoh untuk menghasilkan filem mengenai skandal 1MDB.

Pengarah eksekutif kumpulan pemerhati antirasuah C4, Cynthia Gabriel juga menggambarkan Yeoh sebagai "opportunis murah" kerana pelakon kelahiran Ipoh itu pernah menjadi penyokong bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada masa lalu.