Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang Asli di PD mahu sambungan internet lebih baik

PRK PD | Terletak di antara bukit dan hutan di sepanjang lebuh raya di Pasir Panjang adalah sebuah kampung kecil Orang Asli yang dinamakan Kampung Bukit Kepong.

Dahulunya dikenali sebagai Kampung Mati kerana terletak di penghujung jalan, kira-kira 100 unit keluarga Orang Asli suku Temuan tinggal di rumah yang diperbuat daripada kayu dan batu-bata.

Kini penduduk Kampung Bukit Kepong, yang sebelum ini pernah mengundi BN, berharap calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya kecil Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membantu menyelesaikan masalah mereka.

"Selama 61 tahun, kita pakai baju lama dan dah koyak, jadi sekarang kita dapat baju baru. Kami yakin penduduk di sini semuanya menyokong HARAPAN," kata Omar Goming, 61, yang merupakan tok batin di Kampung Bukit Kepong.

Bagi Zamri Harun yang berusia 41 tahun, Orang Asli sebagai masyarakat minoriti di negara ini tidak mempunyai pilihan selain menyokong kerajaan hari ini, yang diharap dapat membantu membangunkan kampung mereka.

"Sekarang HARAPAN telah menang, kita mesti ikut," kata Zamri yang merupakan generasi ketiga Orang Asli di kampung itu.

Selain berdepan masalah tanah, penduduk meluahkan kesulitan akibat liputan internet yang kurang memuaskan.

"Isu yang paling penting di sini ialah menara komunikasi. Kadang-kadang ada pelancong datang sini, tiga hingga empat kali sebulan, tapi bila mereka datang ke sini, tiada sambungan internet.

"Mungkin, kalau ada sambungan internet di telefon bimbit yang lebih baik, akan ada lebih banyak pelancong datang ke sini," kata Omar kepada Malaysiakini.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS