Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Undang-undang isytihar harta sedang didraf
Diterbitkan:  Oct 8, 2018 12:23 PM
Dikemaskini: 4:26 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses menyiapkan draf cadangan undang-undang bagi mewajibkan pengisytiharan harta semua anggota parlimen, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk pembangkang serta pegawai kerajaan gred JUSA C ke atas.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd berkata, suruhanjaya itu masih belum membuat keputusan sama ada memasukkannya dalam Akta SPRM 2009 atau menggubal akta baru, lapor BH.

“Undang-undang baru itu masih di peringkat cadangan dan SPRM dalam proses menyiapkan draf terakhir mengenainya.

“Kami jangka ia dapat disiapkan sepenuhnya hujung tahun ini,” beliau dipetik sebagai berkata.

Katanya, SPRM merujuk pelaksanaan undang-undang berkaitan di beberapa negara seperti Korea Selatan dan Indonesia.

“Hakikatnya, undang-undang yang dicadangkan ini bukan sekadar proses pengisytiharan harta semata-mata tetapi turut memerlukan penelitian dan pengesahan.

“SPRM pasti memerlukan keanggotaan mencukupi untuk tugas pengesahan bagi setiap butiran yang diisytiharkan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Bagaimanapun buat permulaan, akta baru yang dicadangkan SPRM itu hanya tertakluk semua ahli parlimen kerajaan serta pembangkang sebelum ia diperluas kepada ADUN dan pegawai kanan kerajaan.

Langkah berkenaan menyusul selepas kerajaan Pakatan Harapan mewajibkan anggota pentadbiran negara dan ahli parlimen yang mewakili parti dalam gabungan itu mengisytiharkan harta masing-masing.

Pengisytiharan secara terperinci itu akan didedahkan melalui portal khas Mydeclaration yang akan dilancarkan pertengahan bulan ini.

Lihat Komen
ADS