Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sukar tetapkan garis masa mansuh Akta Hasutan - Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui adalah sukar untuk kerajaan menentukan garis masa untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang masih diguna pakai oleh pihak polis.

Menurut beliau, memansuhkan undang-undang itu adalah proses yang memakan masa dan terpaksa dibawa ke Dewan Rakyat.

“Akta Hasutan masih ada, memansuhkan undang-undang itu mengambil masa dan perlu dibawa ke Parlimen. Dalam tempoh tersebut, undang-undang itu terus digunakan.

“Saya cuba tidak mengambil tahu mengenai perkara ini. Sesiapa yang ingin menggelarkan saya dengan pelbagai nama adalah dialu-alukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan buku Tun Ismail - Paragon of Trust and Integrity, di Auditorium Sasana Kijang, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mahathir berhujah bahawa memansuhkan undang-undang yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

"Ya, kami ada agak banyak undang-undang yang perlu dimansuhkan, dan beberapa lagi yang perlu dipinda.

"Oleh itu, ini mengambil masa, kerana peguam negara perlu meneliti semua undang-undang baru. Dan juga, beberapa undang-undang itu melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

"Jika ia melibatkan Perlembagaan, kita memerlukan majoriti dua pertiga," katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir mempertahankan keperluan Akta Hasutan, dan pernah berkata tanpa akta itu negara akan menyaksikan keadaan kacau bilau.

Tanpa Akta Hasutan, beliau berkata, rakyat Malaysia akan bebas menyemai benih kebencian manakala golongan "pelampau" pula akan menuntut institusi Raja-raja Melayu dihapuskan.

Minggu lalu, perdana menteri mengulangi seruan kepada pihak polis agar berhenti menahan mereka yang membuat penghinaan ke atas beliau.

Ini susulan penahanan, adik kepada anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam iaitu Azman yang baru-baru ini di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 kerana menyebarkan imej yang didakwa menghina Mahathir di media sosial.

 

Lihat Komen
ADS